ad
PBT

Kilang plastik didenda RM105,000, lepas efluen tanpa lesen

24 Jun 2025, 10:16 PM
Kilang plastik didenda RM105,000, lepas efluen tanpa lesen

SHAH ALAM, 24 JUN: Sebuah kilang memproses plastik di Jalan Kalabakan, Sabak Bernam dijatuhkan hukuman denda RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Wandi Yadzid Yaakob berkata tindakan diambil susulan premis tersebut didapati bersalah melepaskan efluen tercemar ke dalam longkang awam tanpa lesen.

Menurutnya, Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza menjatuhkan hukuman setimpal selepas orang kena saman (OKS) atau tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dibaca terhadapnya.

"Mengikut fakta kes, pemeriksaan dijalankan oleh pegawai JPS Sabak Bernam terhadap premis ini yang menjalankan aktiviti memproses plastik pada 27 Disember 2023.

"Syarikat tersebut turut berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 25(3), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar," katanya menerusi kenyataan.

Wandi Yadzid berkata hasil persampelan menunjukkan efluen yang dilepaskan melalui Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) melebihi had Standard B yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Premis industri diingatkan untuk sentiasa patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya. Ketidakpatuhan boleh menyebabkan pihak premis untuk disabitkan dan dibawa ke mahkamah.

"JAS Selangor sentiasa serius dan komited dalam menjalankan pemantauan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974," katanya.

Orang awam dialu-alukan untuk melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol 1800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.