ad
BERITA UTAMA

Pantau senjata api, wujud saluran aduan sulit, kata pakar keselamatan

24 Jun 2025, 9:00 PM
Pantau senjata api, wujud saluran aduan sulit, kata pakar keselamatan
Pantau senjata api, wujud saluran aduan sulit, kata pakar keselamatan

OLEH  AIDA NYAN

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Pakar keselamatan mencadangkan pemantauan ketat terhadap senjata api dan penubuhan saluran aduan tanpa nama bagi membantu membendung kes jenayah ganas yang berlaku di Selangor.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Dato’ Seri Ayub Yaakob berkata kawalan ketat perlu dilakukan agar senjata api tidak jatuh ke tangan yang salah.

“Senjata api perlu diaudit secara berkala termasuk milik syarikat keselamatan. Sempadan negara juga perlu dijaga agar tidak berlaku penyeludupan senjata haram,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kes bunuh masa kini bukan lagi semata-mata tindakan spontan, sebaliknya ada yang dirancang secara halus dengan motif dendam, pelaburan atau usaha menutup kes lain.

“Pihak polis dan pegawai keselamatan perlukan lebih kemahiran serta kelengkapan moden untuk kerja risikan. Penjenayah sekarang pun guna teknologi dan senjata api moden,” jelasnya.

Ayub bagaimanapun memuji usaha polis menyelesaikan kes-kes besar dengan pantas dan cekap, hasil pengalaman dan teknik risikan yang berkesan.

Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim pula menekankan kepentingan kerjasama antara semua agensi keselamatan.

“Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Majlis Keselamatan Daerah (MKD) perlu kendalikan pelan intervensi secara menyeluruh, libatkan polis, PBT, kastam dan jabatan pelaksana,” katanya.

[caption id="attachment_706936" align="aligncenter" width="685"] Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Dato’ Seri Ayub Yaakob. Foto Facebook Malaysia Crime Prevention Foundation[/caption]

Satu lagi cadangan penting ialah pembentukan pangkalan data jenayah, supaya pihak berkuasa dapat mengkaji corak jenayah dan bertindak lebih awal sebelum sesuatu berlaku.

“Melalui analisis data, kita boleh kenal pasti jenis jenayah dan langkah pencegahan yang paling sesuai,” kata Nadiah Syariani Md Shariff, Pakar Kriminologi dan pensyarah kanan Kolej Universiti Manipal Malaysia.

Cadangan itu turut disokong Kamal Affandi yang melihat pola jenayah seperti perselisihan faham dan pengaruh alkohol masih menjadi punca utama kes bunuh.

Wujudkan saluran aduan sulit untuk rakyat

Bagi menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat, para pakar mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan saluran aduan yang selamat, mudah dan tidak memerlukan nama pengadu.

“Kadang-kadang orang takut nak lapor sebab bimbang keselamatan. Jadi kena sediakan saluran aduan tanpa nama,” kata Nadiah.

Ayub turut bersetuju dan menekankan bahawa polis perlu memberi jaminan keselamatan kepada pemberi maklumat, bagi memudahkan kerjasama masyarakat.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 115 kes bunuh direkodkan di Selangor dari Januari 2023 hingga akhir 2024, tertinggi berbanding negeri lain. Turut mencatat kes tinggi ialah Perak (60), Johor (59), Sabah (47) dan Sarawak (36).

Namun begitu, Malaysia masih diiktiraf sebagai antara negara paling selamat, dengan Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 meletakkan negara ini di tangga ke-10 paling aman di dunia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.