KUALA LUMPUR, 24 JUN: Sepanjang 1,008.56 kilometer (km) paip lama milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) diganti setakat Disember tahun lalu, inisiatif mengurangkan risiko paip pecah dan gangguan bekalan kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali berkata usaha penggantian itu dilaksanakan sejak 2016 dan dipertingkat bermula tahun lalu dengan sasaran 300km paip diganti setiap tahun.
“Ini merupakan inisiatif syarikat untuk tingkatkan kebolehpercayaan bekalan air. Selepas paip lama diganti, indeks paip pecah menurun kepada 3.25 kes bagi setiap 100km pada tahun lalu.
“Tahun sebelumnya, indeks dicatatkan 4.18 kes paip pecah dilapor setiap 100km. Kita akan cuba atasi masalah paip pecah ini pada masa akan datang,” katanya semasa membentangkan Laporan Kelestarian Air Selangor 2024, hari ini.
[caption id="attachment_706933" align="aligncenter" width="739"] Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Adam Saffian Ghazali (tiga, kanan) bergambar selepas membentangkan laporan kelestarian Air Selangor 2024 di Pusat Perdagangan Bangsar, Kuala Lumpur pada 24 Jun 2025. Foto Facebook Adam Saffian Ghazali[/caption]
Beliau berkata Air Selangor juga mengekalkan tahap pematuhan tinggi terhadap piawaian kualiti air minuman ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu 99.93 peratus.
“Pematuhan melebihi 99 peratus ini konsisten sejak empat tahun berturut-turut. Air Selangor mencatatkan pelbagai pencapaian seterusnya memberi dampak positif kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial,” katanya.
Pada Februari lalu, Air Selangor memaklumkan peningkatan kadar penggantian paip daripada 150km kepada 300km setahun, yang akan dinaikkan kepada 400km bermula 2034.
Langkah itu susulan pelarasan tarif air baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2024.