ad
AGENDA

Air Selangor raih RM2.98 bilion, pastikan 9.6 juta pengguna terima khidmat terbaik

24 Jun 2025, 7:56 PM
Air Selangor raih RM2.98 bilion, pastikan 9.6 juta pengguna terima khidmat terbaik
Air Selangor raih RM2.98 bilion, pastikan 9.6 juta pengguna terima khidmat terbaik

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mencatatkan RM2.98 bilion pendapatan tahun lalu, meningkat 5.44 peratus berbanding 2023.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sepanjang tahun lalu pihaknya memperuntuk modal perbelanjaan RM690 juta dengan hampir 70 peratus diguna dalam usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Menurut Adam Saffian Ghazali, baki kira-kira 30 peratus lagi diguna bagi meningkatkan kecekapan operasi sekali gus merealisasikan matlamat menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka Asia menjelang 2030.

“Sepanjang tahun lalu, terdapat penurunan sebanyak 13.9 peratus dalam perbelanjaan modal berbanding RM800 juta pada tahun sebelumnya.

“Air Selangor akan terus melabur dalam mengurus dan mentadbir aspek bekalan air untuk manfaat 9.62 juta pengguna sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya ketika membentangkan laporan kelestarian Air Selangor 2024 hari ini.

[caption id="attachment_706932" align="aligncenter" width="814"] Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali (kanan) menjawab soalan pemberita selepas membentangkan laporan kelestarian Air Selangor 2024 di Pusat Perdagangan Bangsar, Kuala Lumpur pada 24 Jun 2025. Foto Facebook Adam Saffian Ghazali[/caption]

Menurut Adam Saffian, Air Selangor turut mencapai 27 peratus NRW tahun lalu, memberi penjimatan hampir 300 juta liter sehari selain mampu mengoptimumkan kos operasi serta memastikan kecekapan sumber air.

“Dalam tempoh sama, margin rizab air turut meningkat kepada 18.6 peratus berbanding 2023 yang mencatat 15.34 peratus.

“Peningkatan ini hasil daripada pemantauan rapi yang dijalankan di empangan dan loji rawatan air bagi memastikan kestabilan sumber bekalan,” katanya.

Pada November 2023, Dato’ Menteri Besar berkata Air Selangor dijangka mampu menjana keuntungan sendiri menjelang 2029 dengan anggaran keuntungan RM200 juta.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pada waktu itu pihaknya menjangkakan program air percuma dapat dikembalikan kepada rakyat seperti yang pernah dilaksana sebelum ini.

Pada 2019, Kerajaan Selangor memperkenal Skim Air Darul Ehsan (SADE) iaitu pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada kumpulan sasar di negeri ini.

Program penjajaran semula itu menumpukan golongan pendapatan bulanan isi rumah RM5,000 ke bawah dan manfaat tersebut kini dinikmati lebih 4 juta pengguna.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.