SHAH ALAM, 24 JUN: Keprihatinan seorang warga emas di Taman Sri Muda yang menjadikan amalan mengutip sampah sebagai rutin harian secara tidak langsung membantu mencegah longkang tersumbat dan risiko banjir.
Doraisamy, 71, berkata rutin mengutip sampah itu dilakukan sejak tiga tahun lalu selepas melihat semakin banyak sampah dibuang ke dalam longkang oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab.
Beliau yang sudah lebih 10 tahun menetap di taman itu meluangkan kira-kira tiga jam setiap hari mengutip sampah seperti tin, plastik, botol dan batang pisang di sekitar kawasan perumahan selain menjadikan aktiviti itu sebagai senaman.
[caption id="attachment_706920" align="aligncenter" width="681"] Ahli Majlis MBSA Zon 9, Ramu Nadarajan meninjau saluran longkang pada Tinjauan ke projek kolam tadahan banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam pada 23 June 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Doraisamy juga kesal apabila ada yang menyalahkan kerajaan apabila berlaku banjir, sedangkan masalah sebenar berpunca daripada sikap segelintir penduduk yang membuang sampah ke dalam longkang.
“Kita tak boleh harap kerajaan saja, kita sendiri kena jaga kebersihan. Kalau semua main peranan, risiko banjir pun boleh dikurangkan,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Zon B Taman Sri Muda, Asraf Kafid Abu Hasib berkata banjir berjaya dielakkan ketika hujan lebat pada 21 Jun lalu, hasil daripada pembinaan kolam tadahan sementara oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
[caption id="attachment_706922" align="alignright" width="500"] Mohd Khairulazmi Awang Pulau, 41
pada Tinjauan ke projek kolam tadahan banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam pada 23 June 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Ini satu perkembangan positif, tapi kami harap projek mitigasi banjir jangka panjang dapat dipercepat supaya penduduk lebih yakin dan rasa selamat,” katanya.
Penduduk lain, Mohd Khairulazmi Awang Pulau, 41, turut mengakui masih trauma setiap kali hujan turun dan berharap penyelesaian kekal dapat dilaksana segera.
"Saya difahamkan kolam tadahan air sementara memang ada tetapi sampai bila kita mahu bergantung dengan kolam itu, sekiranya hujan lebat dalam tempoh masa lama berkemungkinan besar banjir boleh berlaku," katanya.