ad
AGENSI

68 keluarga terjejas bah di Klang terima bantuan tunai, makanan Yide

24 Jun 2025, 5:00 PM
68 keluarga terjejas bah di Klang terima bantuan tunai, makanan Yide
68 keluarga terjejas bah di Klang terima bantuan tunai, makanan Yide

SHAH ALAM, 24 Jun: Seramai 68 ketua keluarga mangsa banjir di Klang menerima bantuan tunai sebanyak RM300 serta kotak makanan asas daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), sebagai usaha meringankan beban mereka yang terkesan.

Yide dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, bantuan menerusi Program Sumbangan Fidyah: Wang Tunai & Kotak Makanan merupakan antara komitmen berterusan agensi berkenaan dalam menyantuni golongan memerlukan.

“Kami doakan urusan mangsa dipermudahkan dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Ini sebahagian usaha menyampaikan amanah masyarakat kepada mereka yang diuji,” kata Yide.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Masjid Al-Bakri Bukit Naga, Pejabat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Naga.

[caption id="attachment_706910" align="aligncenter" width="811"] Kakitangan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Masjid Al-Bakri Bukit Naga pada 24 Jun 2025. Foto Facebook Yayasan Islam Darul Ehsan[/caption]

Dalam masa sama, Yide menyeru orang ramai agar terus membudayakan amalan infak, zakat dan sedekah kerana setiap sumbangan akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Melalui pendekatan menyeluruh dan kerjasama pelbagai pihak, Yide komited memperluas jaringan kebajikan, khususnya dalam membantu mangsa bencana di seluruh Selangor,” tambah kenyataan itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.