Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 24 JUN: Projek peremajaan Lapangan Terbang Subang melibatkan Kerajaan Selangor kini pada fasa akhir rundingan dan dijangka dilancarkan menjelang hujung tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari memberitahu persefahaman dan persetujuan bersama telah dicapai antara Kerajaan Negeri dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), sekali gus menjadi langkah penting dalam merealisasikan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP).
[caption id="attachment_706878" align="aligncenter" width="814"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Pembukaan APS Asia Pacific di Seksyen U10, Shah Alam pada 24 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kami berada di fasa terakhir (rundingan) dengan MAHB dan saya percaya perjanjian telah dimuktamadkan. Terdapat persefahaman yang kukuh antara kedua-dua pihak, termasuk Kerajaan Negeri dan MAHB,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) Aircraft Propeller Service (APS) di sini, hari ini.
[caption id="attachment_706879" align="aligncenter" width="738"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat tempat pembuatan kipas kapal terbang selepas merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan APS Asia Pacific di Seksyen U10, Shah Alam pada 24 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pada Julai tahun lalu, MAHB dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menandatangani memorandum persefahaman bagi memajukan pembangunan dan pemasaran Zon 3 dan Zon 4 di bawah pelan tersebut, yang berpusat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Pembangunan zon berkenaan, yang dikhususkan untuk segmen penerbangan perniagaan dan aeroangkasa merangkumi pembinaan hangar baharu (bangunan penyelenggaraan pesawat) serta pengukuhan ekosistem industri aeroangkasa melibatkan pengeluar, pemasang dan pengendali MRO komponen.
Dalam pada itu, Amirudin turut menzahirkan keyakinan terhadap halatuju projek tersebut selain optimis pelancarannya dapat dilakukan dalam tempoh yang dirancang.
“Ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul dan saya yakin projek ini dapat dilancarkan sebelum akhir tahun,” ujarnya.
[caption id="attachment_706877" align="aligncenter" width="812"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat tempat pembuatan kipas kapal terbang selepas merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan APS Asia Pacific di Seksyen U10, Shah Alam pada 24 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
SARP merupakan inisiatif berfasa yang bertujuan mentransformasi Lapangan Terbang Subang menjadi hab aeroangkasa serantau, di samping meningkatkan kemudahan infrastruktur serta memperluas aktiviti berkaitan penerbangan di Selangor.
Di bawah pelan tersebut, kerajaan menyasarkan peningkatan kapasiti penumpang tahunan lapangan terbang itu kepada lapan juta menjelang 2030.
Pelan pembangunan itu dibahagikan kepada empat zon utama dengan fungsi tersendiri, antaranya Zon 1 dan Zon 2 yang diperuntukkan untuk pengembangan terminal Lapangan Terbang Bandar serta fasiliti MRO.