ad
BERITA UTAMA

EXCO: Tiada kematian akibat Covid-19 di Selangor, kes masih terkawal

24 Jun 2025, 12:16 PM
EXCO: Tiada kematian akibat Covid-19 di Selangor, kes masih terkawal

SHAH ALAM, 24 JUN: Tiada kematian pesakit Covid-19 direkodkan di Selangor setakat ini dengan kes direkodkan masih di bawah paras amaran, kata EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata sejumlah 7,582 kes dari Minggu Epidemiologi (ME) 1 hingga ME24 (berakhir pada 14 Jun), berbanding 18,231 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Pada ME 24 tahun ini sahaja, sebanyak 1,082 kes direkodkan berbanding 795 kes pada minggu sebelumnya, menunjukkan peningkatan sebanyak 36 peratus.

“Bagaimanapun, jumlah kes ini masih berada di bawah paras amaran berdasarkan tren kes di Selangor bagi tahun 2022 hingga 2024,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Jamaliah, daerah Petaling merekodkan kes tertinggi dengan 2,475 kes, diikuti Hulu Langat (1,435 kes), Klang (974 kes), dan Gombak (927 kes).

Tambahnya, seramai 353 individu menerima rawatan lanjut di hospital akibat Covid-19, dengan seorang wanita hamil dirawat di unit rawatan rapi kerana turut dijangkiti demam denggi pada ME24.

“Didapati bahawa individu dewasa berumur 31 hingga 59 tahun merupakan kumpulan yang paling kerap dijangkiti Covid-19 dengan jumlah 44 peratus, diikuti golongan belia (27 peratus),” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan memaklumkan satu kematian pertama akibat Covid-19 direkodkan pada tahun ini.

Menurut KKM, kes terbabit melibatkan individu yang mempunyai komorbiditi serius iaitu penyakit jantung dan diabetes serta tidak menerima dos penggalak kedua.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.