SHAH ALAM, 24 JUN: Syarikat Indah Water Konsortium (IWK) kawasan Taman Sri Muda, di sini diminta mempercepat proses pengalihan aliran air kumbahan ke tempat bersesuaian.
Ini kerana menurut Ahli Majlis Zon 9 Ramu Nadarajan, laluan air kumbahan sedia ada di dua lokasi dikenal pasti antara punca menyebabkan banjir kerap berlaku di Taman Sri Muda.
"Kita mohon pada IWK dan minta mereka segerakan pengalihan saliran air ke tempat lebih sesuai.
Saliran air IWK ini tidak kira hujan ke tidak, airnya sangat deras.
"Apatah lagi kalau hujan, memang sangat laju hingga melimpah ke kawasan perumahan," katanya ketika ditemui Media Selangor di Padang Taman Sri Muda di sini petang semalam.
Mengulas kemajuan projek mitigasi banjir di kawasan tersebut, Ramu berkata pihaknya sentiasa memantau kerja terlibat dan ia lancar mengikut jadual setakat ini.
"Setiap maklumat juga disebarkan kepada pengerusi penduduk dan saya sebagai penduduk juga berharap kita semua dapat bekerjasama atasi masalah banjir di Taman Sri Muda," katanya.
Baru-baru ini, hujan lebat berterusan sejak jam 4 pagi menyebabkan beberapa kawasan rendah lain di Shah Alam dan Klang termasuk Jalan Kebun dan sekitar Kota Kemuning dinaiki air.
Berikutan itu, lebih 100 penduduk sekitar Kota Kemuning terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Aster selepas kawasan tersebut dilanda banjir kilat.
Kawasan terjejas termasuk Taman Bukit Kemuning, Taman Greenville dan penempatan tanah lot di sekitar Bukit Kemuning. Semua penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, kelmarin.