SHAH ALAM, 23 JUN: Tinjauan pendapat Merdeka Center mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kadar kelulusan 55 peratus daripada pengundi di negara ini.
Kaji selidik itu menunjukkan majoriti pengundi memberikan Anwar penilaian positif didorong persepsi bahawa negara kini berada di landasan yang lebih stabil dan ketidaktentuan politik telah reda.
Faktor lain, Anwar kini mengetuai kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen selain reformasi institusi seperti pengembalian semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memberi isyarat kepada pentadbiran yang kembali berteraskan prinsip.
“Daripada segi ekonomi, data kerajaan menunjukkan inflasi menurun kepada hanya 1.4 peratus pada Mac lalu, iaitu paras terendah dalam tempoh tiga tahun dan pertumbuhan ekonomi mencatat 4.4 peratus pada suku pertama.
“Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, bantuan tunai perayaan kepada penjawat awam dan subsidi bahan api yang masih diteruskan membantu mengurangkan kekecewaan awam terhadap kos sara hidup.
[caption id="attachment_706486" align="aligncenter" width="1143"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama hadirin ketika hadir
Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 20 Jun 2025. Foto BERNAMA[/caption]
“Walaupun tinjauan terus menunjukkan kebimbangan utama rakyat adalah ekonomi, ketiadaan kejutan harga walaupun selepas penarikan subsidi diesel pada 2024 membantu meredakan sentimen,” katanya.
Selain itu, kejayaan Anwar meningkatkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa melalui penganjuran lawatan Presiden China, Xi Jinping dan peranan sebagai pengerusi Asean 2025 telah memberikan tumpuan diplomatik kepadanya.
“Perjanjian pelaburan baharu, kerjasama perdagangan dan kepimpinan dalam inisiatif Selatan Global turut mengukuhkan imej beliau di dalam negara.
“Namun begitu, isu harian rakyat, bukan dasar luar atau ucapan antarabangsa tetap menjadi keutamaan utama rakyat Malaysia. Dengan kos harian yang semakin reda dan pekerjaan lebih terjamin, semakin ramai pengundi memberikan kepercayaan kepada perdana menteri dan kerajaan," katanya.
Tinjauan sama turut menilai prestasi penarafan Kerajaan Persekutuan yang berada pada paras 50 peratus bulan lalu berbanding 40 peratus pada Jun 2024.
“Tahap ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan menurun kepada 48 peratus berbanding 58 peratus setahun lalu, yang mana jurang rapat antara pandangan positif dan negatif ini banyak dipengaruhi kebimbangan berterusan terhadap tekanan kos sara hidup dan kegusaran mengenai pemotongan subsidi yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
[caption id="attachment_658022" align="aligncenter" width="956"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Putrajaya pada 16 Ogos 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim[/caption]
“Sebanyak 50 peratus pengundi yang ditinjau berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah (berbanding 61 peratus setahun lalu), manakala jumlah pengundi yang merasakan negara sedang menuju ke arah yang betul meningkat kepada 43 peratus berbanding 29 peratus pada Jun 2024.
“Sebab utama bagi pandangan bahawa negara berada di landasan salah, masih berkisar kepada hala tuju ekonomi negara dan prestasi pentadbiran semasa,” katanya.
Tinjauan itu dijalankan dari 12 hingga 23 Mei lalu untuk mengukur persepsi pengundi terhadap perkembangan semasa.
Sejumlah 1,208 pengundi berdaftar yang mencerminkan profil pemilih kebangsaan ditemu bual melalui talian tetap dan telefon bimbit.
Responden dipilih berdasarkan pensampelan berstrata rawak mengikut kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan Dewan Undangan Negeri dan tinjauan ini dibiayai sepenuhnya melalui sumber kewangan dalaman Merdeka Center.