SHAH ALAM, 23 JUN: Penggiat industri vape tempatan menyokong penuh gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan segera diambil bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dan penggunaan vape dalam kalangan belia.
Presiden Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA) Datuk Adzwan Ab Manas berkata ia berikutan kadar pengedaran dadah di Malaysia adalah membimbangkan, lapor Harian Metro.
Menurutnya, penyalahgunaan dadah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk bukan sekadar peranti vape, malah medium lain termasuk makanan dan minuman.
"Isu sebenar bukan berpunca daripada produk vape yang sah. Apa yang lebih membimbangkan, penjualan produk vape dicampur dadah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Ia bukan sahaja membahayakan pengguna malah mencemarkan imej industri secara keseluruhan. Apa yang lebih merisaukan golongan ini menjual kepada individu bawah umur," katanya.
Menurut Adzwan, peraturan sedia ada secara jelas melarang penjualan produk vape kepada individu bawah umur, namun pelanggaran masih berlaku dalam pasaran gelap disebabkan kelemahan dalam penguatkuasaan.
"Kami yakin ahli kami tidak melanggar undang-undang atau menjual kepada golongan bawah umur. Namun, sekiranya ada yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu, kami bersetuju sepenuhnya hukuman setimpal harus dikenakan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVM) Mohd Sabri Ismail menjelaskan, perniagaan secara asasnya berorientasikan kepada keuntungan dan peniaga berusaha untuk beroperasi secara telus demi memastikan kelangsungan dan integriti perniagaan mereka.
"Sebagai peniaga berlesen dan berdaftar, sudah tentu kami tidak mahu terbabit dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan perniagaan kami.
"Kami percaya, individu yang menjual produk vape berbahaya dan menyasarkan golongan bawah umur bukanlah sebahagian daripada komuniti perniagaan vape yang sah dan berlesen," katanya.
Presiden Malaysia E-Vaporizers dan Tobacco Alternative Association (MEVTA) Mohamad Neezam Talib turut menggesa supaya penguatkuasaan diperkukuh dan dijalankan secara menyeluruh.
"(Penguatkuasaan ini) bukan sahaja terhadap pihak yang menjual kepada golongan bawah umur, malah terhadap pihak yang mengedar produk vape bercampur bahan terlarang,” katanya.
Anwar sebelum ini meluahkan kebimbangan terhadap gejala penyalahgunaan dadah dan vape dalam kalangan belia, khususnya anak muda Melayu.
Anwar berkata, situasi itu kian membarah dan memerlukan penyelesaian menyeluruh membabitkan pelbagai pendekatan termasuk kaunseling dan dakwah.
Kerajaan Selangor sebelum ini mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas dan menyita sebarang iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED.
Tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bagi melindungi rakyat khususnya generasi muda daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.