ad
AGENDA

Singapura hargai bantuan Malaysia dan Oman bawa keluar rakyatnya dari Iran

23 Jun 2025, 2:47 PM
Singapura hargai bantuan Malaysia dan Oman bawa keluar rakyatnya dari Iran

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 23 JUN: Singapura merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Oman atas bantuan yang diberikan dalam memudahkan kepulangan rakyatnya dari Iran dengan selamat.

Jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura berkata seorang rakyatnya telah dibawa keluar bersama kumpulan rakyat Malaysia dan beberapa warga asing lain dari Iran ke Ashgabat, Turkmenistan dengan bantuan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, sebuah keluarga yang terdiri daripada tiga rakyat Singapura turut dipindahkan dari Tehran ke Muscat, Oman bersama kumpulan rakyat Oman dan warga asing lain dengan bantuan kerajaan Oman.

“Kedutaan Besar Singapura di Muscat dan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur bekerjasama rapat dengan kerajaan tuan rumah dan rakan-rakan kedutaan untuk melancarkan kepulangan rakyat Singapura dari Iran,” kata jurucakap itu dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, MFA turut memberikan bantuan konsular yang diperlukan kepada tujuh lagi rakyat Singapura di Iran yang telah keluar melalui sempadan darat Iran-Armenia dan pelabuhan Bandar Abbas ke Emiriah Arab Bersatu.

Sejak tercetusnya konflik antara Iran dan Israel, MFA sentiasa menyalurkan bantuan konsular kepada rakyatnya di Iran, termasuk meneroka pelbagai pilihan pemindahan memandangkan tiada misi diplomatik Singapura di negara itu, menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.