ad
AGENDA

Kumpulan pengguna gesa langkah perlindungan, pengecualian cukai menjelang peluasan SST

23 Jun 2025, 12:46 PM
Kumpulan pengguna gesa langkah perlindungan, pengecualian cukai menjelang peluasan SST
Kumpulan pengguna gesa langkah perlindungan, pengecualian cukai menjelang peluasan SST
Kumpulan pengguna gesa langkah perlindungan, pengecualian cukai menjelang peluasan SST
Kumpulan pengguna gesa langkah perlindungan, pengecualian cukai menjelang peluasan SST

OLEH DANIAL DZULKIFLY

SHAH ALAM, 23 JUN: Beban ditanggung rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, wajar ditangani dengan langkah-langkah seperti pengecualian cukai bagi perkhidmatan asas, peluasan program bantuan tunai Budi Madani serta pengenalan Kerangka Ketelusan Harga Nasional, menurut kumpulan pengguna.

Cadangan lain termasuk subsidi bersasar, penjelasan terperinci caj Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan penguatkuasaan tegas bagi memastikan perluasan cukai tidak menindas pengguna.

Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran, tanpa pemantauan, peniaga mungkin menyalahgunakan perubahan cukai mulai 1 Julai ini untuk menaikkan harga, terutama dalam sektor tanpa kawal selia harga.

[caption id="attachment_660449" align="aligncenter" width="718"] Orang ramai membeli barangan di Pasaraya Ehsan Segi Fresh yang dibuka pada 24 Ogos 2024 di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya. Foto Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor[/caption]

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca T. Saravanan melahirkan kebimbangan mengenai manipulasi harga oleh peniaga, seperti yang berlaku semasa pelaksanaan GST pada 2015 dan SST pada 2018.

“Ramai peniaga menggunakan perubahan cukai sebagai alasan untuk meningkatkan margin keuntungan,” katanya kepada Media Selangor.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader turut menyuarakan kerisauan sama, beliau menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memantau pelaksanaan SST secara aktif.

Beliau juga menyeru pengguna melaporkan kes peniaga yang mengenakan caj berlebihan.

“Sentiasa ada kemungkinan peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah. KPDN perlu lebih proaktif, dan pengguna perlu digalakkan membuat aduan jika berlaku ketidakadilan harga,” katanya.

Dalam rejim cukai baharu ini, enam kategori perkhidmatan termasuk logistik, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan, perkhidmatan kecantikan dan pembinaan akan dikenakan SST.

Barangan bukan asas pula dikenakan cukai pada kadar 5 hingga 10 peratus, manakala barangan asas dikecualikan.

Saravanan menegaskan perkhidmatan seperti penjagaan kanak-kanak, pembaikan rumah, dan penghantaran kurier adalah keperluan asas yang penting, bukannya kemudahan yang bersifat mewah. Kekurangan harga standard dalam sektor ini meningkatkan risiko kepada pengguna.

[caption id="attachment_706747" align="aligncenter" width="697"] Orang ramai di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memohon inisiatif subsidi diesel Budi Madani, di Bangi pada 11 Jun 2024.Foto BERNAMA[/caption]

“KPDN perlu melaksanakan langkah perlindungan seperti perbandingan harga sebelum dan selepas SST serta memaparkan kadar perkhidmatan dengan pecahan SST untuk membantu pengguna mengenal pasti kenaikan harga tidak munasabah,” ujarnya.

Beliau juga mencadangkan akses aduan yang lebih mudah melalui aplikasi mudah alih dan talian hotline, selain penguatkuasaan lapangan yang lebih ketat.

Mohideen pula mengetengahkan isu kebergantungan Malaysia terhadap import makanan, memberi amaran bahawa cukai ke atas buah-buahan import seperti epal, oren, dan anggur akan menambah tekanan kepada kos hidup rakyat.

“Malaysia mengimport sekitar 70 peratus bekalan makanan, termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran beriklim sederhana.

"Kebergantungan ini bukan sahaja menyebabkan aliran keluar ringgit yang besar tetapi juga mengancam keselamatan makanan negara dalam situasi perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan melabur dalam penanaman buah-buahan tempatan untuk menstabilkan harga sebelum mengenakan SST ke atas barangan import.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan Kabinet akan menilai semula keputusan cukai ke atas buah import bagi memastikan ia tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

Justeru, untuk mengurangkan kesan SST, Saravanan mencadangkan program bantuan tunai Budi Madani diperluas dengan pendaftaran dipermudah dan bantuan kewangan disesuaikan mengikut peningkatan kos sara hidup.

“Proses pendaftaran mestilah mudah supaya isi rumah layak tidak tercicir dan bantuan perlu disesuaikan dengan kenaikan kos hidup akibat SST,” katanya.

Saravanan turut mencadangkan kempen kesedaran SST nasional untuk memaklumkan pengguna tentang sektor yang terlibat dan cara melaporkan kes pengambilan untung berlebihan.

“Penting untuk pengguna membezakan kenaikan harga berkaitan cukai yang sah daripada amalan tidak beretika. Kempen ini perlu memupuk kejelasan harga dan akauntabiliti,” tambahnya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.