ad
AGENDA

Cadangan guna KWSP bayar insurans kesihatan dipuji, tapi kerajaan perlu pantau

23 Jun 2025, 10:30 AM
Cadangan guna KWSP bayar insurans kesihatan dipuji, tapi kerajaan perlu pantau
Cadangan guna KWSP bayar insurans kesihatan dipuji, tapi kerajaan perlu pantau
Cadangan guna KWSP bayar insurans kesihatan dipuji, tapi kerajaan perlu pantau

PETALING JAYA, 23 JUN: Cadangan membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membayar premium insurans kesihatan mendapat reaksi positif dalam kalangan pencarum.

Rata-rata berpendapat inisiatif itu dapat membantu meringankan beban kewangan mereka dalam menghadapi kos rawatan yang kian meningkat, terutama di pusat perubatan swasta.

Bagi pekerja swasta, Izwan Khairudin, 40, inisiatif tersebut amat dialu-alukan, namun beliau menggesa kerajaan turut memantau syarikat insurans supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan kadar premium secara tidak wajar.

[caption id="attachment_706707" align="aligncenter" width="718"] Izwan Khairudin, 40,[/caption]

“Kerajaan perlu pantau polisi syarikat insurans kerana ada yang potong faedah tapi masih naikkan kadar premium.

“Mengikut pengalaman sendiri, pembayaran insurans juga lambat hingga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk bil di hospital, jadi kerajaan perlu lihat situasi ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun bandar raya Petaling Jaya di laman MBPJ, kelmarin.

Berkongsi pandangan sama, Khairul Nizam Rosli, 47, berkata cadangan tersebut tepat pada masanya memandangkan kos perubatan swasta kini terlalu tinggi.

[caption id="attachment_706706" align="aligncenter" width="785"] Khairul Nizam Rosli, 47,[/caption]

“Saya belanja antara RM700 hingga RM800 untuk tujuh orang anak. Lima dari mereka umur bawah 18 tahun mencecah RM500, jumlah perbelanjaan ini tidak termasuk diri-sendiri serta isteri.

“Selain pengeluaran, kerajaan juga boleh membantu dengan pemberian subsidi ubat dan konsultasi kerana tidak semua mampu bayar kos di swasta terutama golongan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa kerajaan bersedia meneliti cadangan penggunaan Akaun 2 KWSP bagi membiayai premium insurans kesihatan, selaras usaha memperluas akses rakyat kepada perlindungan perubatan lebih menyeluruh.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pendekatan tersebut telah digunakan di beberapa negara dan berpotensi memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli KWSP, termasuk untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.