ad
AGENDA

Guna nama Islam: Garis panduan tegas elak salah tafsir, jaga kesucian agama

23 Jun 2025, 9:00 AM
Guna nama Islam: Garis panduan tegas elak salah tafsir, jaga kesucian agama
Guna nama Islam: Garis panduan tegas elak salah tafsir, jaga kesucian agama
Guna nama Islam: Garis panduan tegas elak salah tafsir, jaga kesucian agama
Guna nama Islam: Garis panduan tegas elak salah tafsir, jaga kesucian agama

SEPANG, 23 JUN: Garis panduan lebih jelas dan tegas perlu diwujudkan berhubung penggunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama pertubuhan bagi memelihara kesucian agama serta mengelak kekeliruan dalam kalangan umat.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah itu penting bagi mengelakkan istilah tersebut disalah guna untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

[caption id="attachment_706712" align="aligncenter" width="812"] EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah ditemui media pada Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjis Kampung Salak Tinggi Sepang pada 22 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Ia (pendaftaran pertubuhan) di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan iaitu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Jadi ada wajarnya untuk garis panduan lebih tegas supaya tidak disalah guna untuk tujuan yang mungkin bertentangan dengan agama Islam yang akan mengelirukan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjid Kampung Salak Tinggi, semalam.

Senada dengan beliau, Imam 2 Masjid Kampung Salak Tinggi, Muhammad Aimi Akmal Zaini turut menyokong agar garis panduan ketat diwujudkan bagi mengelak penyalahgunaan istilah berkenaan.

[caption id="attachment_706710" align="aligncenter" width="740"] Imam 2 Masjid Kampung Salak Tinggi Muhammad Aimi Akmal Zaini. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Memang patut ada garis panduan lebih tegas supaya nama Islam tidak disalah ertikan dengan tujuan atau tafsiran peribadi yang hakikatnya bertentangan dengan Islam,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha masjid berkenaan, Zul Amri Mohd berpandangan penggunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama pertubuhan perlu dikawal agar tidak mencemari ajaran sebenar.

[caption id="attachment_706711" align="aligncenter" width="724"] Setiausaha Masjid Kampung Salak Tinggi, Zul Amri Mohd. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Dalam keadaan pertembungan pelbagai pandangan, umat Islam seharusnya kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk memahami dan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar.

“Jadi istilah penggunaan Islam itu sebaiknya jika ada pihak yang menyalahguna, diberi ruang untuk diambil tindakan yang wajar supaya kesucian itu terpelihara,” ujarnya.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan agar pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Islam’ dalam sebarang bentuk penerbitan di platform berkaitan pertubuhan itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penggunaan istilah tersebut secara tidak tepat boleh mengelirukan masyarakat Islam.

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai sesat hanya terpakai kepada individu beragama Islam, dan bukan kepada pertubuhan atau entiti.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti menjelaskan bahawa frasa “orang-orang yang menganut agama Islam” dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada individu sebenar, bukan organisasi.

Untuk rekod, Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 31 Julai 2014 mengisytiharkan SIS Forum serta individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu turut mengarahkan semua penerbitan berunsur fahaman tersebut diharamkan dan dirampas, selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menapis kandungan laman sosial yang bercanggah dengan Islam dan hukum syarak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.