SEPANG, 22 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini dalam peringkat akhir meneliti permohonan Kebenaran Operasi Bertempoh (KOB) daripada kira-kira 400 pusat tahfiz melalui program Pemutihan Tahfiz 2.0.
EXCO hal ehwal agama Islam berkata pusat tahfiz yang memenuhi syarat akan menerima KOB dan dibenar beroperasi dalam tempoh dua tahun sebelum memperoleh Kebenaran Merancang (KM) penuh dari PBT berdasarkan kelayakan.
Jelas Dr Mohammad Fahmi Ngah, KOB adalah alternatif lebih praktikal yang diperkenal bagi membolehkan pusat tahfiz beroperasi dengan selamat sebelum layak memperoleh KM penuh dari PBT.
“Semua dokumen telah dihantar pada 31 Mei kepada semua PBT. Sekarang ini PBT dalam peringkat akhir untuk meneliti permohonan tersebut, saya rasa sebahagian besarnya (pusat tahfiz yang mohon) akan mendapat KOB tersebut.
“Setakat ini mereka diberi tempoh dua tahun untuk memastikan mereka boleh dapat KM penuh. KOB ini walaupun ia ringkas, ia tetap menjamin keselamatan sekolah untuk mudir dan pelajar tahfiz,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjid Kampung Salak Tinggi di sini, hari ini.
[caption id="attachment_706683" align="alignnone" width="866"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah beramah mesra bersama peserta Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjis Kampung Salak Tinggi Sepang pada 22 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurut Mohammad Fahmi, antara kekangan utama yang sering dihadapi pusat tahfiz untuk memperoleh KM penuh daripada PBT adalah berkaitan isu status dan pemilikan tanah.
“KM penuh ini (kekangan) kebanyakannya isu tanah. Contohnya, sekolah itu dibangunkan, bangunan itu memang dia bayar tapi tanah itu tidak dizonkan untuk sekolah, mungkin dizonkan pertanian. Jadi untuk mengubah guna tanah itu ambil masa yang lama.
“Selain itu, ada juga kes pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanahnya untuk operasi pusat tahfiz, tetapi tiada perjanjian dan sebagainya, apabila pemilik tanah meninggal dunia ada sedikit kesukaran dan ambil masa untuk diselesaikan,” katanya.
[caption id="attachment_706659" align="alignnone" width="828"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah ketika Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjis Kampung Salak Tinggi Sepang pada 22 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Sebelum ini, Mohammad Fahmi berkata program Pemutihan Tahfiz 2.0 bagi memperkemas operasi pusat tahfiz di Selangor mencatat pendaftaran 596 pusat berbanding hanya 450 pada fasa satu.
Menurutnya, daripada 596 yang mendaftar dengan program kendalian Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (PITAS) itu, 49 pusat tahfiz berjaya memperoleh KM sepenuhnya selain kira-kira 384 memohon KOB dan kira-kira 90 memilih untuk menutup operasi secara sukarela.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri melakukan beberapa pindaan dalam Program Pemutihan 2.0 bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin selain tidak menekan pengusaha.
Inisiatif itu juga menjamin institusi tahfiz persendirian mematuhi syarat minimum kebenaran merancang yang ditetapkan PBT serta agensi keselamatan.