SHAH ALAM, 22 JUN: Beberapa negeri menyatakan persetujuan berhubung cadangan Selangor mempertandingkan acara e-sukan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
EXCO sukan berkata maklum balas itu diterima hasil daripada perbincangan antara majlis sukan-sukan negeri yang diwakili Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
“Hasil perbincangan memang positif dan ada nampak beberapa negeri bersetuju cadangan Selangor memasukkan e-sukan sebagai sukan tambahan pada SUKMA nanti.
[caption id="attachment_706670" align="alignleft" width="414"] EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media selepas majlis perasmian Selangor Future Cup 2025 di Aeon Shah Alam pada 22 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Namun, keputusan semua sukan tambahan akan diketahui pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA yang dipengerusi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Ogos depan,” kata Mohd Najwan Halimi kepada Media Selangor.
Berhubung sukan pickleball, beliau yang juga EXCO keusahawanan memaklumkan acara itu kemungkinan dipertimbang sebagai sukan persembahan, bukannya sebagai sukan tambahan.
“Sebelum ini ada acara dijadikan sukan persembahan, Selangor bukannya yang pertama. Untuk sukan persembahan ini, ia dipertanding tetapi tidak dikira dalam SUKMA,” ujarnya.
Pada 10 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata tema dan jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA Selangor 2026 akan diumum pada Ogos.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, turut diumum ialah lokasi majlis perasmian dan penutup temasya tersebut.
Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah SUKMA ialah pada 1998 dan muncul juara keseluruhan.