PETALING JAYA, 22 JUN: Petaling Jaya antara bandar raya terpenting yang pesat membangun serta memacu ekonomi negeri tanpa meminggirkan aspek kelestarian alam sekitar.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata kerjasama erat antara pemegang taruh dan komuniti telah merealisasikan inisiatif seperti transformasi digital dan pemerkasaan ekonomi di Petaling Jaya.
“Di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) program pemuliharan alam sekitar dan pembangunan hijau giat dilaksana untuk kesejateraan masyarakat.
“Komitmen MBPJ mempromosi Petaling Jaya, Selangor dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berteraskan kelestarian seni serta budaya sejak 2013 hingga mendapatkan pelbagai pengiktirafan harus dicontohi,” katanya
Beliau berucap pada majlis sambutan ulang tahun bandar raya Petaling Jaya ke-19 di laman MBPJ di sini, malam tadi.
Jamaliah memberitahu sejak 2015, negeri komited membangunkan bandar raya Petaling Jaya sebagai kota seni untuk meningkatkan sektor ekonomi kreatif ke tahap lebih tinggi.
“Pusat Bandar Seksyen 52 telah dipilih sebagai lokasi pengisian program Kota Seni iaitu “One Stop Centre” kepada peminat seni sekali gus meningkatkan kualiti hidup warga bandar raya Petaling Jaya.
“Inisiatif juga merupakan manifestasi Kerajaan Negeri untuk mengelakkan golongan remaja terlibat dalam gejala sosial,” ujarnya lagi.