ad
AGENDA

Semangat Faisal tidak pernah luntur, sedia beri segalanya musim depan

21 Jun 2025, 8:00 PM
Semangat Faisal tidak pernah luntur, sedia beri segalanya musim depan

SHAH ALAM, 21 JUN: Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC mengesahkan pemain kebangsaan, Faisal Halim akan terus kekal bersama skuad Gergasi Merah bagi saingan musim depan.

Selepas terpaksa mengharungi musim sukar susulan menjadi mangsa simbah asid pada Mei tahun lalu, kelab itu menjelaskan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey kini bersedia untuk memberikan segalanya bagi musim 2025/2026, lapor portal Berita Harian.

Kelab itu turut memuji semangat Faisal yang tidak pernah luntur dari hari pertama menyarung jersi 'nombor 7' Gergasi Merah pada musim 2023 hingga ke saat dia kembali bangkit berdiri selepas melalui ujian paling getir dalam hidupnya.

"Mencatatkan 51 penampilan secara keseluruhan, 16 gol serta 13 'assists' (bantuan gol), dan tidak dilupakan jaringan hatrik ketika menentang Kelantan Darul Naim FC musim lalu.

"Mickey bukan sahaja pulih, malah beliau bangkit lebih kuat. Musim lalu juga menyaksikan beliau disenaraikan dalam kesebelasan utama ABK 2024/25 Fans XI dan kekal menjadi tunjang utama Harimau Malaya," kata kelab itu.

Selain Faisal, Selangor FC turut mengumumkan beberapa lagi pemain lain yang akan terus kekal menggalas tanggungjawab bersama pasukan itu.

Pemain berkenaan termasuk tonggak tengah Harimau Malaya Nooa Laine, Harith Haiqal Adam Afkar, Richmond Ankrah, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan

Muhammad Abu Khalil, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Alvin Fortes, Mohammad Abualnadi dan Qentin Cheng.

Selangor bakal berdepan jadual lebih padat musim ini kerana selain Liga Malaysia (Liga M), skuad itu turut akan bersaing dalam dua kejohanan lain termasuk Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejuaraan Kelab ASEAN.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.