ad
AGENDA

Berang terhadap warden, 46 pekerja asing buat kecoh depan asrama

21 Jun 2025, 6:41 PM
Berang terhadap warden, 46 pekerja asing buat kecoh depan asrama

BUKIT MERTAJAM, 21 JUN: Polis menahan 46 lelaki warga asing susulan kekecohan di pekarangan sebuah hotel yang dijadikan penginapan pekerja di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 10.42 malam memaklumkan terdapat sekumpulan pekerja warganegara asing berkumpul di pekarangan bangunan itu.

“Siasatan awal mendapati bangunan itu dijadikan hostel pekerja oleh sebuah syarikat di kawasan Perindustrian Bukit Minyak dan menetapkan peraturan pekerja tidak dibenarkan menghisap rokok atau mengambil minuman keras semasa tinggal di kawasan premis itu.

“Kejadian berpunca selepas beberapa pekerja tidak berpuas hati dengan warden hostel yang juga seorang lelaki warganegara asing kerana mengutip denda daripada pekerja melanggar peraturan tanpa pengetahuan pihak syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Helmi berkata tindakan itu menyebabkan beberapa pekerja berkumpul dan merosakkan van syarikat di hadapan bangunan berkenaan.

Kesemua lelaki berkenaan direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.

Terdahulu, kejadian itu tular menerusi media sosial hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam, namun pihak polis dilihat berada di lokasi bagi menenangkan keadaan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.