SHAH ALAM, 21 JUN: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak pengendali Sinar Harian membuka siasatan dalaman berhubung kesilapan maklumat profil berkaitan Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang mengaitkannya sebagai anggota parti itu.
Ketua penerangan AMK berkata tindakan disiplin sewajarnya dikenakan terhadap individu atau petugas yang gagal mematuhi etika kewartawanan dan pemantauan kandungan juga perlu diambil pengendali media berkenaan.
Menurut Danish Hairudin, AMK menyatakan kekesalan dan kekecewaan atas penyebaran maklumat tidak tepat yang memperlihatkan Mohd Khalid seolah-olah pernah menjadi ahli atau memegang jawatan dalam KEADILAN.
“Perbuatan menyebar tanggapan bahawa pelantikan beliau dibuat atas dasar politik bukan sahaja menjejaskan kredibiliti dan profesionalisme institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah mencemar reputasi KEADILAN.
“Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab, khususnya apabila perkara ini dikaitkan dengan agenda politik yang cuba mencipta persepsi palsu. AMK berpendirian tegas menegakkan etika maklumat dan mempertahankan integriti institusi negara serta parti.
“Kami menyeru rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dan skeptikal terhadap maklumat yang disebar secara tidak sahih dalam ruang maya serta merujuk kepada sumber rasmi sebelum membuat sebarang penilaian dan kesimpulan,” katanya dalam kenyataan.
Tegas Danish lagi, sebarang penulisan atau pelaporan yang menimbulkan salah faham seumpama ini tidak boleh dipandang ringan dan pihak media sosial mahupun penerbit berita wajar mencatat fakta secara tepat serta menyeluruh sebelum berkongsi atau menerbitkannya.
“Sebarang kesilapan harus dibetulkan segera, disertai pengakuan jelas dan permohonan maaf secara rasmi kepada Ketua Polis Negara serta KEADILAN,” katanya.
Setiausaha Agung KEADILAN Dr Fuziah Salleh sebelum ini memaklumkan Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi anggota parti itu, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti disiarkan dalam media sosial sebuah akhbar tempatan semalam.
Katanya, penyebaran profil yang salah dan berkait dengan parti politik boleh menjejaskan imej serta kredibiliti ketua polis negara, selain boleh menimbulkan persepsi negatif kepada KEADILAN sebagai parti pemerintah sekiranya terdapat rakyat mempercayai bahawa lantikan Mohd Khalid dibuat atas dasar lantikan politik.
Beliau berkata KEADILAN berpendirian kesilapan itu tidak wajar berlaku dan menggesa agar satu siasatan dalaman dijalankan pihak akhbar terbabit.