SHAH ALAM, 20 JUN: Pemain industri rokok elektronik atau vape mencadangkan penubuhan Majlis Pemantauan Vape Malaysia bagi menangani isu penyalahgunaan peranti itu dalam kalangan belia termasuk pelajar sekolah.
Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata majlis berkenaan boleh diterajui secara bersepadu bersama agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, penubuhan majlis tersebut bertujuan memantau secara menyeluruh aspek kawal selia industri vape daripada pengilangan, pengedaran, kawalan produk sehingga ke penguatkuasaan di lapangan.
“Penyalahgunaan dadah melalui peranti vape yang muncul kini menjadi satu cabaran baharu yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebagai syarikat tempatan yang berdaftar dan mematuhi piawaian ketat kawal selia, Nanostix komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam membanteras penyalahgunaan ini,” katanya menerusi kenyataan.
Shahabudeen turut mencadangkan sekatan terhadap peranti dan cecair vape dari luar negara, terutamanya yang tidak berdaftar, yang dipercayai menjadi antara punca utama produk dicemari dengan dadah atau bahan terlarang.
Tambahnya, kerajaan juga perlu meningkatkan penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengekang usaha penyeludupan vape dan cecair haram selain pemantauan berkala di premis jualan.
“Nanostix menyarankan hanya produk dari syarikat berdaftar, yang mematuhi garis panduan ketat (seperti ujian makmal, kod keselamatan, semakan usia pembeli), dibenarkan dalam pasaran. Ini akan menyekat penjualan vape tiruan dan tidak beretika,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap penglibatan anak Melayu dalam penyalahgunaan dadah dan vape selain mahu isu berkenaan diberi perhatian serius.
Kenyataan itu susulan kejayaan polis Selangor membongkar sindiket memproses vape berisi dadah dan penjualan bahan terlarang di kedai menerusi dua serbuan berasingan di Klang dan Sungai Buloh pada minggu lalu.
Dalam serbuan itu, polis merampas cecair dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin bernilai RM5.1 juta serta menahan 11 suspek termasuk empat wanita warga asing berusia 21 hingga 38 tahun.