ad
AGENDA

Tawaran bakat mahir, infrastruktur bertaraf dunia jadikan Selangor tumpuan pelabur

21 Jun 2025, 1:02 PM
Tawaran bakat mahir, infrastruktur bertaraf dunia jadikan Selangor tumpuan pelabur

SHAH ALAM, 21 JUN: Keupayaan Selangor menawarkan bakat mahir dan infrastruktur bertaraf dunia menjadikan negeri ini destinasi pelaburan syarikat antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sokongan dasar yang kukuh dimiliki Selangor turut menjadi faktor menarik syarikat global mengembangkan operasi mereka di negeri ini.

Jelas beliau, Neways Technologies, syarikat dari Belanda yang telah menerajui inovasi global lebih lima dekad sejak penubuhannya pada 1969, antara syarikat antarabangsa yang memilih Selangor untuk mengembangkan operasi mereka.

“Keputusan Neways yang memilih Selangor untuk membuka operasi pertama mereka di rantau Asia Tenggara menerusi fasiliti baharu di Bukit Raja, Klang bermula 22 Mei lalu, mencerminkan kekuatan negeri ini dalam menawarkan akses kepada bakat terbaik, infrastruktur bertaraf dunia serta sokongan dasar yang kukuh.

“Sebagai peneraju global dalam teknologi misi kritikal bagi sektor semikonduktor, kesalinghubungan dan mobiliti pintar, Neways memainkan peranan penting dalam landskap teknologi tinggi.

“Kami berbangga kerana Selangor menjadi sebahagian daripada perjalanan pengembangan global syarikat ini,” katanya di Facebook selepas bertemu Ketua Pegawai Operasi Neways Technologies Steven Soederhuizen dalam rangka lawatan kerja ke Eindhoven, Belanda.

Menurut Amirudin, sepanjang sesi perbincangan, Selangor turut memperteguh komitmen dalam membangunkan bakat berkemahiran, merangsang pertumbuhan rantaian bekalan serta menyediakan fasilitasi menerusi Invest Selangor.

“Kami amat berbesar hati menyambut kehadiran Neways sebagai pemain utama dalam ekosistem teknologi tinggi negeri ini,” katanya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.