SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan disaran menubuhkan jawatankuasa tetap dianggotai pakar keselamatan jalan raya dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mencegah kemalangan membabitkan kenderaan berat.
Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) Jamil Manan Jufri berkata penubuhan jawatankuasa itu dapat memastikan undang-undang berkaitan jalan raya dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan membabitkan semua pihak berkepentingan.
"Sekarang pasukan khas ditubuhkan jika berlaku kemalangan tragis. Kakitangan kerajaan dilantik pula tiada pengalaman uruskan kes kerana mereka dipilih atas faktor kekosongan jawatan.
"Jadi perlu ada jawatankuasa kekal dianggotai pakar dan NGO, pantau sikap pemandu berterusan. Macam kenderaan udara ada pasukan khas tangani krisis dan kerap pantau kenderaan dan sistem mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia Omar Mat Piah menegaskan setiap syarikat pengendali kenderaan berat wajib melantik penyelaras keselamatan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan serius.
"Di bawah pindaan terkini Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, mana-mana syarikat yang mempunyai lebih lima pekerja wajib ada penyelaras keselamatan. Jika gagal boleh didenda sehingga RM50,000," katanya.