ad
PBT

MPHS lulus pelaburan kilang bateri RM260 juta, buka 2,000 peluang kerja

20 Jun 2025, 9:26 PM
MPHS lulus pelaburan kilang bateri RM260 juta, buka 2,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 20 JUN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) meluluskan pelan pembangunan baharu bernilai RM260 juta di Bandar Industri Bernilai Tinggi Serendah yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan, pelan pembangunan tersebut membabitkan cadangan pembinaan kilang pemasangan bateri Linergy Power Sdn Bhd yang dilaksana bawah inisiatif MPHS 14 Flagship.

“MPHS 14 Flagship adalah salah satu kaedah di bawah inisiatif High Speed Hulu Selangor yang menggunakan platform Industrial Green Lane (IGL) iaitu modul yang tersedia di dalam Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan beberapa penambahbaikan proses.

“Salah satu tawaran kaedah ini adalah komitmen surat kelulusan dikeluarkan selepas sahaja mesyuarat. Pemaju juga ditawarkan untuk memohon lesen sementara dan lesen penuh boleh diberikan segera apabila sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) didepositkan,” katanya.

Penyerahan surat kelulusan disampaikan Yang Dipertua MPHS Julaiha Jamaludin kepada Pengarah Pelaburan Linergy Power, Lu Zhan selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Pusat Setempat (OSC), hari ini.

Dalam pada itu, MPHS menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor bagi menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi ke Hulu Selangor.

Menurutnya, peningkatan pelaburan ke daerah itu bakal menaikkan nilai hartanah serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“MPHS juga komited untuk memastikan pelabur yang ingin melabur di Hulu Selangor diberi pemudahcara selaras inisiatif yang telah digariskan di dalam 'Ease Of Doing Bussiness in Hulu Selangor',” katanya.

Menerusi Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035, Hulu Selangor dikenalpasti sebagai Hab Pembuatan Pengangkutan yang memfokuskan kepada pelaburan kilang pembuatan automatif dan pengangkutan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.