SHAH ALAM, 20 JUN: Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Amerika Syarikat agar tidak campur tangan dalam konflik Israel-Iran dan membiarkan rejim Zionis itu menyelesaikan sendiri akibat tindakannya.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata Israel sebelum ini bertindak menyerang Iran tanpa penglibatan Amerika dengan keyakinan mereka mampu melemahkan republik itu melalui pembunuhan tokoh ketenteraan dan saintis nuklear.
Namun, katanya, tindak balas Iran yang dianggap luar jangka menyebabkan Israel kini mula merayu campur tangan Amerika demi menyelamatkan kedudukannya yang semakin terdesak.
“Seruan Israel kepada Amerika adalah bukti mereka sedang tertekan dan mungkin kehabisan stok sistem pertahanan Iron Dome. Mereka hanya mampu diselamatkan sekiranya Amerika menyertai peperangan ini yang dimulakan sendiri oleh Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid menegaskan Amerika tidak perlu terjerumus sekali lagi ke kancah peperangan yang hanya menguntungkan Israel, sebagaimana yang berlaku ketika serangan ke atas Iraq dan Syria sebelum ini.
“Berbilion dolar wang rakyat Amerika dibelanjakan dan ratusan tentera terkorban, namun Israel terus mencetuskan konflik baharu dengan kepercayaan bahawa Amerika akan sentiasa datang menyelamatkannya,” katanya.
[caption id="attachment_706394" align="aligncenter" width="742"] Ratusan peserta berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur bagi mengecam pencerobohan Israel ke atas wilayah Republik Islam Iran dalam Himpunan Solidariti pada 20 Jun 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau turut mengingatkan janji bekas Presiden Donald Trump semasa kempen pilihan raya, kononnya tidak mahu lagi terlibat dalam sebarang peperangan dan mahu mengelakkan Perang Dunia Ketiga.
Namun begitu, katanya, Amerika kini semakin menghampiri penyertaan dalam konflik yang digerakkan negara haram Israel, sekali gus membuka ruang kepada kuasa besar lain seperti Russia dan China untuk turut campur tangan.
“Untuk apa? Untuk sebuah negara yang dituduh melakukan jenayah kemanusiaan, pembunuhan orang awam dan melanggar undang-undang antarabangsa?
“Justeru, kami nyatakan dengan tegas — stay out of it, America! Let Israel fight its own wars and get itself out, on its own, from the hole it dug for itself!,” tegas beliau.
[caption id="attachment_706399" align="aligncenter" width="733"] Ratusan peserta berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur bagi mengecam pencerobohan Israel ke atas wilayah Republik Islam Iran dalam Himpunan Solidariti pada 20 Jun 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, lebih 300 peserta berhimpun secara aman di ibu negara hari ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan Iran yang terus menjadi sasaran kekejaman Israel.
Peserta mula berkumpul seawal 12.30 tengah hari di hadapan Kompleks Tabung Haji sebelum berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat sambil melaungkan slogan ‘Allahuakbar’ dan ‘Free Palestine’ serta membawa sepanduk antaranya bertulis ‘Terima Kasih Iran’.