ad
AGENSI

Khutbah Jumaat: Enakmen Syariah benteng akhlak, kekang kerosakan sosial

20 Jun 2025, 4:43 PM
Khutbah Jumaat: Enakmen Syariah benteng akhlak, kekang kerosakan sosial

SHAH ALAM, 20 JUN: Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 disifatkan sebagai benteng penting dalam menjaga akhlak dan membendung kerosakan sosial dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Mesej itu disampaikan dalam khutbah Jumaat bertajuk “Enakmen Jenayah Syariah: Undang-Undang yang Mendidik” yang dibacakan serentak di seluruh masjid Selangor hari ini.

Khutbah menjelaskan bahawa pelaksanaan hukuman takzir berlandaskan syariah melalui enakmen ini adalah satu usaha mendidik dan membela masyarakat, bukan sekadar menghukum.

“Sebagai orang Islam kita hendaklah memelihara, menghormati dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh ulil amri ini.

“Umat Islam hendaklah memahami intipati yang terkandung dalam enakmen sebagai satu usaha pemerkasaan syariat secara berperingkat dalam konteks perundangan negara,” menurut petikan khutbah tersebut.

Khutbah turut mengingatkan bahawa keberkesanan pendidikan moral dalam masyarakat memerlukan sokongan kerangka undang-undang yang tegas dan berlandas syarak.

“Masyarakat Islam hendaklah yakin bahawa tarbiyah yang berterusan disokong dengan pelaksanaan undang-undang mampu membina umat yang berdisiplin, berakhlak mulia dan terpelihara daripada kerosakan sosial,” katanya lagi.

Selain menyeru umat Islam menjauhi perbuatan bercanggah dengan syariat, khutbah turut menekankan pentingnya memelihara keluarga dan masyarakat agar tidak terjebak dalam kemungkaran yang meruntuhkan akhlak.

Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang diluluskan pada 11 Disember 1995 menetapkan bidang kuasa berkaitan perundangan Islam seperti urusan kekeluargaan, penubuhan Mahkamah Syariah dan Majlis Agama Islam Selangor.

Ia turut disokong oleh Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang menggariskan prosedur pelaksanaan bagi kes-kes berkaitan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.