SHAH ALAM, 20 JUN: Brek angin atau pneumatik yang digunakan jentera berat seperti bas dan lori perlu diselenggara kerap supaya sistem itu berfungsi dengan baik.
Pakar kuasa elektrik dan sistem pemandu Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ishak Aris berkata penjagaan rapi brek penting kerana ia komponen utama pemanduan yang mampu mengawal dan menghentikan kenderaan serta-merta jika berlaku kecemasan.
Beliau menjelaskan sistem brek angin juga mampu menghasilkan daya henti yang kuat dan konsisten sesuai dengan kenderaan berat sekali gus mengurangkan risiko nahas.
[caption id="attachment_706375" align="alignleft" width="404"] Pakar kuasa elektrik dan sistem pemandu Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia Prof Dr Ishak Aris[/caption]
“Kena selalu periksa, kena selenggara. Kalau dijaga, brek ini tak ada masalah. Tak kira pemandu lori atau bas.
'"Kalau kita ikut ketetapan pemanduan berhemah, jarak kenderaan sesuai, kalau ada kecemasan, kita brek dan memang boleh elak kemalangan.
“Yang kita risaukan kalau sistem brek tak dipantau, diperiksa. Kenderaan berat ini sepatutnya buat pemeriksaan berkala pada sistem brek dan lain-lain,” katanya kepada Media Selangor.
Selain masalah brek, Dr Ishak berkata, sikap pemandu yang tidak berhemah dan sambil lewa di samping permukaan jalan serta cuaca turut menjadi punca kemalangan.