SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan Negeri komited untuk terus mempertahankan hak Orang Asli bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara, kata EXCO Hal Ehwal Orang Asli.
V Papparaidu berkata dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli 2025 (MAPOA Bil. 1/2025), beliau menekankan beberapa perkara antaranya berkaitan dengan status pemilikan tanah oleh masyarakat Orang Asli.
Tegasnya, tanah Orang Asli tidak seharusnya dijadikan cagaran atau jaminan untuk pinjaman bank kerana jika berlaku kegagalan pembayaran semula pinjaman, tanah berkenaan berisiko dirampas institusi kewangan.
“Ia secara langsung akan menjejaskan hak milik tradisi masyarakat Orang Asli serta membuka ruang kepada kehilangan tanah pusaka yang diwarisi sejak turun-temurun.
“Tanah yang dimiliki oleh masyarakat Orang Asli merupakan tanah berstatus khas yang mempunyai nilai warisan serta kepentingan yang besar terhadap komuniti tersebut, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan ia dilindungi sebaik mungkin demi menjamin hak dan masa depan mereka,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan sekiranya tanah Orang Asli dibangunkan sama ada untuk projek perumahan atau komersial penjualan unit atau lot pembangunan tersebut perlu dihadkan kepada masyarakat Orang Asli sahaja.
“Ini penting untuk memastikan manfaat daripada pembangunan tersebut terus kekal dalam komuniti itu sendiri dan tidak dinikmati oleh pihak luar yang mungkin ingin mengambil kesempatan atas status tanah tersebut.
“Langkah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk terus mempertahankan hak masyarakat Orang Asli serta memastikan mereka tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Kita perlu bergerak ke hadapan dengan dasar yang adil dan inklusif, namun pada masa sama peka terhadap sensitiviti serta hak istimewa yang termaktub buat komuniti Orang Asli di negara ini,” katanya.
Papparaidu mewakili Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. Turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dan Wilayah Persekutuan Mohamad Anis Othman.
[caption id="attachment_706357" align="aligncenter" width="1152"] Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli 2025 dipengerusikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang diadakan pada 17 Jun 2025 di Bangi. Foto Facebook Papparaidu Veraman[/caption]