ad
BERITA UTAMA

Selangor tegas pantau fahaman liberalisme dan pluralisme agama

20 Jun 2025, 9:00 AM
Selangor tegas pantau fahaman liberalisme dan pluralisme agama

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan Negeri akan terus memantau, mengesan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana individu yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama di Selangor.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, langkah itu penting bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara di negeri ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan tiada individu bebas mengamalkan atau menyebarkan fahaman sesat berkenaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha pemantauan, pengesanan dan penguatkuasaan berasaskan undang-undang yang berkuat kuasa terhadap individu yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman itu tetap dikira sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam seperti yang dinyatakan dalam fatwa bertarikh 31 Julai 2014.

Justeru, Mohammad Fahmi mengalakkan orang awam supaya terus melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor sekiranya ada pembuktian terhadap mana-mana individu yang mengamalkan dan menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama di negeri ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu bukannya pertubuhan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti berkata ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan buatan atau tiruan seperti sebuah syarikat.

Pada 31 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta SKMM menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.