ad
AGENDA

36 pelancong India, pemandu selamat, bas persiaran terbabas

20 Jun 2025, 8:27 AM
36 pelancong India, pemandu selamat, bas persiaran terbabas

IPOH, 20 JUN: Seramai 36 pelancong warga India dan seorang pemandu bas tempatan terselamat selepas bas persiaran yang mereka naiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 396.2 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat Tanjung Malim, semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata kejadian berlaku pada 3.39 petang dan kesemua mangsa termasuk pemandu berusia 41 tahun tidak mengalami kecederaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kanan jalan.

“Bas tersebut kemudiannya melanggar penghadang pembahagi jalan sebelum masuk ke dalam longkang di bahagian kanan lebuh raya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bas persiaran itu membawa 32 lelaki dan empat wanita, kesemuanya warga India, dalam perjalanan dari Hotel Regalia, Kuala Lumpur, ke Hotel Weil di Ipoh.

“Kesemua penumpang telah dipindahkan ke sebuah bas gantian untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Plus Malaysia Berhad menerusi ciapan di akaun rasmi @plustrafik di laman sosial X memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan selesai sepenuhnya pada 6.50 petang sebelum keadaan trafik kembali lancar.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.