ad
AGENDA

Sultan Selangor: SIS Forum jangan lagi guna nama ‘Islam’ dalam penerbitan

19 Jun 2025, 9:45 PM
Sultan Selangor: SIS Forum jangan lagi guna nama ‘Islam’ dalam penerbitan

SHAH ALAM, 19 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menggesa Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) supaya tidak lagi menggunakan perkataan 'Islam' dalam sebarang bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan pertubuhan tersebut.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan penyalahgunaan istilah 'Islam' dalam nama dan kandungan penerbitan organisasi itu boleh mengelirukan masyarakat Islam.

“Perkataan 'Islam' tidak sepatutnya digunakan sewenang-wenangnya bagi tujuan tertentu demi kepentingan pihak syarikat,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Baginda juga menzahirkan rasa kecewa dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada SIS Forum, sebaliknya hanya kepada individu.

“Baginda senada dengan isi kandungan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini, berhubung keputusan terbaharu ini,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu bukannya pertubuhan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti berkata ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan buatan atau tiruan seperti sebuah syarikat.

Pada 31 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta SKMM menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.