ad
AGENSI

WBS perkasa enam pusat perlindungan wanita, tumpu latihan dan pemulihan

19 Jun 2025, 9:30 PM
WBS perkasa enam pusat perlindungan wanita, tumpu latihan dan pemulihan
WBS perkasa enam pusat perlindungan wanita, tumpu latihan dan pemulihan

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 19 JUN: Wanita Berdaya Selangor (WBS) terus komited membantu mangsa keganasan rumah tangga dengan menyediakan program pemulihan yang berkesan dan sokongan bagi meningkatkan kebolehupayaan mereka menerusi enam rumah perlindungan kendalian agensi itu.

Eksekutif Jabatan Strategi dan Dasar Wanita WBS Tengku Muhammad Afif Tengku Azmi berkata, inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban mangsa, tetapi juga memperkukuh pusat perlindungan sebagai elemen penting dalam ekosistem perlindungan sosial.

"Rumah perlindungan ini menjadi ruang penting dalam usaha kami memperkasa wanita.

"Bantuan disalurkan telah memberikan impak positif menerusi latihan dan program pemulihan menjadikan mereka lebih berdikari," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, bagi menjayakan inisiatif berkenaan, sebanyak RM85,000 telah dibelanjakan untuk menambah baik rumah perlindungan yang terletak di Rawang, Klang, Ampang, Petaling Jaya dan Kuala Langat bagi membantu mangsa membina semula kehidupan mereka.

"Langkah ini diharap mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga serta menyokong kesejahteraan wanita dan kanak-kanak di Selangor.

"Kami percaya dengan sokongan berterusan, WBS mampu memacu perubahan positif dan membantu golongan memerlukan untuk bangkit serta mencapai kehidupan yang lebih baik," tambahnya.

Inisiatif Bantuan Rumah Perlindungan oleh Kerajaan Selangor melalui WBS bertujuan menyediakan perlindungan dan sokongan lebih baik kepada wanita dan kanak-kanak yang terkesan akibat keganasan rumah tangga serta keganasan berasaskan gender.

Berikut rumah perlindungan kendalian WBS:

-‌ Pertubuhan Kebajikan Rumah Perlindungan Sementara Baituzzahrah (Kuala Langat, Selangor)

‌- Pertubuhan Muslimah Malaysia (Klang, Selangor)

‌- Pertubuhan Kebajikan Bonda Juwanda (Rawang, Selangor)

‌- Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) (Petaling Jaya, Selangor)

‌- Pusat Jagaan Bayt Al-Rahmah (Ampang, Selangor)

‌- Pusat Jagaan RPS YWCA Malaysia (Klang, Selangor)

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.