ad
AGENDA

PGSM gesa semak, tambah baik undang-undang Islam

19 Jun 2025, 8:30 PM
PGSM gesa semak, tambah baik undang-undang Islam

SHAH ALAM, 19 JUN: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa peruntukan undang-undang berkaitan agama Islam dan umat Islam disemak serta ditambah baik susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia), hari ini.

Presidennya Musa Awang berkata usaha itu perlu dilakukan dengan melibatkan sesi libat urus bersama pelbagai pihak bagi memastikan perundangan sedia ada memenuhi keperluan syarak serta selari dengan undang-undang lain.

Berhubung keputusan tersebut, Musa menyifatkan tiada pihak yang kalah atau menang dalam penghakiman berkenaan selain Mahkamah Persekutuan telah menjalankan tugas mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa-apa komen mahu pun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut khususnya terhadap frasanya yang berbunyi: ‘... fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ dan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam’.

“Ini bermaksud bahawa kuasa mengeluarkan fatwa berkaitan agama Islam ke atas penganut beragama Islam masih kekal dalam bidangkuasa eksklusif pihak berkuasa agama Negeri (Jawatankuasa fatwa, Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Musa, penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut tidak membatalkan atau menafikan keabsahan pemakaian fatwa ke atas individu dan larangan terhadap umat Islam menganut fahaman pluralisme dan liberal, atau fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jelasnya, keputusan Mahkamah Persekutuan adalah berhubung had pemakaian fatwa tersebut kepada individu dan bukan kepada syarikat, pertubuhan atau institusi.

“Walaubagaimanapun, mana-mana individu beragama Islam yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa yang dikeluarkan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu bukannya pertubuhan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti berkata ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan buatan atau tiruan seperti sebuah syarikat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.