SEREMBAN, 19 JUN: Polis menahan tiga lagi pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, dekat sini yang melarikan diri dari pusat terbabit Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Jelebu Supt Azizan Said berkata dua lelaki berumur 36 dan 42 tahun itu ditahan di Jalan Kongkoi, Jelebu kira-kira 12 tengah hari tadi.
“Setakat hari ini, empat pelatih yang melarikan diri itu berjaya ditangkap dan polis masih memburu dua lagi yang masih bebas, iaitu V Manimaran, 38, beralamat terakhir di Taman Seri Bernam, Selangor dan K Mohanarajh, 25, (Taman Bertuah, Perak),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis menerima laporan berkaitan enam pelatih pusat berkenaan melarikan diri kira-kira 1 pagi sebelum melancarkan operasi mengesan dan menangkap mereka dengan bantuan anjing pengesan polis dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jelebu.
Semalam, polis berjaya menahan semula seorang pelatih lelaki berumur 35 tahun dalam masa kurang 24 jam selepas melarikan diri, di kawasan berhampiran kilang Rotan Titi Cane, Kongkoi, Jelebu berjarak lima kilometer dari pusat berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA