SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan akan meneliti secara menyeluruh berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam cabaran terhadap fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tindakan tersebut demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
“Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah.
“Kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting agar fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara kita,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Na’im menjelaskan, beliau menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara.
Tegasnya, kerajaan akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.
“Pada masa sama, kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu bukannya pertubuhan.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti berkata ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan buatan atau tiruan seperti sebuah syarikat.