Oleh Muhammad Haziq Roshidi
SHAH ALAM, 19 JUN: Jurang gaji dan kos sara hidup semakin meningkat antara faktor ramai pekerja berdepan tekanan malah graduan juga tidak memilih bidang pekerjaan untuk meneruskan kehidupan.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan akhbar kelmarin menyatakan realiti semasa menunjukkan ramai pekerja berdepan tekanan kos hidup yang meningkat, terutama apabila gaji sebenar semakin menurun walaupun produktiviti meningkat.
Malah BNM menggesa reformasi menyeluruh pasaran buruh dan semakan semula mekanisme penetapan gaji dilaksanakan segera bagi menangani jurang yang semakin melebar antara pertumbuhan upah dan kos sara hidup, meskipun kadar inflasi kekal rendah.
"Gaji sebenar telah menurun meskipun produktiviti pekerja terus mencatat pertumbuhan," kata Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar, dalam sesi bertajuk Managing Inflation, Easing Costs: A Policy Perspective sempena Simposium Sasana 2025 anjuran bank pusat itu.
Beliau berkata antara suku pertama 2020 hingga suku pertama 2025, Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 9.8 peratus, manakala harga makanan dan minuman melonjak 17.5 peratus. Namun, gaji nominal dalam sektor swasta hanya meningkat 7.9 peratus, mengakibatkan penurunan gaji sebenar 1.9 peratus.
Katanya, Malaysia turut menunjukkan prestasi baik dari segi pelaburan pada 2023 dan 2024, dengan peningkatan peratusan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi daripada 25 peratus kepada kira-kira 30 peratus namun terdapat jurang besar antara jumlah graduan baru dan pekerjaan berkemahiran yang diwujudkan.
Sementara itu bagi graduan dalam bidang penyiaran komunikasi media, mencari pekerjaan dalam bidang pengajian selain gaji setimpal semakin sukar malah ramai memilih bekerja di luar skop demi kelangsungan hidup.
Muhammad Adib Izudin Mohamed Rashidi, 23, berkata dia sendiri menceburi media sosial seperti TikTok dan Youtube untuk mencari pendapatan.
[caption id="attachment_706273" align="alignleft" width="380"] Muhammad Adib Izudin Mohamed Rashidi. Foto TENGKU AMIR/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Saya belajar bidang penyiaran komunikasi media tetapi masuk ke media sosial, mengurus kandungan untuk TikTok dan Youtube.
"Sukar untuk saya dapat kerja dalam bidang pengajian kerana faktor kekangan pasaran dan persaingan. Ramai juga memilih pekerjaan yang mendatangkan pendapatan cepat seperti menjadi pencipta kandungan, lari dari bidang dipelajari," katanya.
Anis Zulaikha Ahmad Ikhwan, 23, graduan jurusan pengajian antarabangsa dan strategik kini bekerja di agensi pengiklanan dalam bidang perkhidmatan pelanggan, jauh dari latar akademiknya.
[caption id="attachment_706274" align="alignright" width="416"] Anis Zulaikha Ahmad Ikhwan. Foto TENGKU AMIR/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Cabaran utama bidang pengajian saya ialah kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan ramai rakan memilih jalan lain termasuk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam seperti Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
"Gaji saya tak sepadan dengan kerja yang saya lakukan tetapi lokasi agensi berdekatan dengan rumah menjimatkan kos harian," katanya.
Manakala Ahmad Adam Ahmad Nordin , 25 tahun, yang bekerja dalam bidang selari dengan pengajiannya, perniagaan dan kewangan berkata, bidang kewangan terlalu kompetetif dan memerlukan kelayakan tinggi seperti pengalaman kerja dan keputusan cemerlang menyebabkan lambakan graduan dengan gaji tidak setimpal.
[caption id="attachment_706275" align="alignleft" width="359"] Ahmad Adam Ahmad Nordin Foto TENGKU AMIR/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Pendapatan saya dengan pekerjaan sekarang pada paras mencukupi namun disebabkan kos sara hidup di bandar tinggi, mungkin perlu membuat kerja sampingan kalau nak hidup selesa," katanya.