ad
AGENDA

Fatwa Selangor tak dibatalkan sepenuhnya, hanya tidak terpakai ke atas SIS Forum

19 Jun 2025, 3:43 PM
Fatwa Selangor tak dibatalkan sepenuhnya, hanya tidak terpakai ke atas SIS Forum

OLEH MUHAMMAD REY HAZRIELL

SHAH ALAM, 19 JUN: Mahkamah Persekutuan tidak membatalkan keseluruhan fatwa berkaitan fahaman liberalisme dan pluralisme agama di Selangor, sebaliknya hanya mengetepikan beberapa peruntukan yang melangkaui bidang kuasa.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata teras utama fatwa iaitu menyatakan bahawa fahaman liberal dan plural agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, kekal sah dan berkuat kuasa.

“Mahkamah mengesahkan Perenggan 1 dan 4 fatwa yang menegaskan individu yang berpegang kepada fahaman ini adalah sesat serta perlu bertaubat dan kembali ke jalan Islam,” menurut kenyataan PPMM hari ini.

PPMM menjelaskan bahawa mahkamah hanya membatalkan pemakaian fatwa ke atas SIS Forum (Malaysia) sebagai syarikat, serta peruntukan yang menyentuh rampasan bahan terbitan dan sekatan laman-laman sosial.

Menurut PPMM, mahkamah mentafsir “persons professing the religion of Islam” dalam Perlembagaan hanya merujuk kepada manusia sebenar, bukan entiti seperti syarikat yang tidak boleh melaksanakan rukun Islam seperti solat atau bertaubat.

"Mahkamah menegaskan bahawa walaupun fatwa tidak terpakai kepada syarikat, individu-individu yang menggerakkan syarikat atau pertubuhan itu tetap terikat dengan fatwa tersebut," tegas PPMM.

PPMM turut menekankan bahawa pengharaman penerbitan dan sekatan internet adalah bidang kuasa Persekutuan dan tidak terletak di bawah Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Persatuan itu menggesa agar laporan media berkaitan keputusan ini dibuat dengan tepat dan tidak mengelirukan masyarakat berkenaan kedudukan sebenar fatwa.

PPMM menyeru agar orang ramai memahami bahawa fatwa masih berkuat kuasa ke atas individu, dan usaha menyebarkan fahaman bertentangan dengan akidah Islam tetap tidak dibenarkan menurut hukum.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.