ad
AGENDA

Mahkamah Persekutuan putuskan fatwa 2014 terpakai kepada individu, bukan pertubuhan

19 Jun 2025, 1:43 PM
Mahkamah Persekutuan putuskan fatwa 2014 terpakai kepada individu, bukan pertubuhan

SHAH ALAM, 19 JUN: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan fatwa Selangor mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu bukannya pertubuhan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti berkata 'orang-orang yang menganut agama Islam' yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan buatan atau tiruan seperti sebuah syarikat.

"Tafsiran peruntukan perlembagaan ini seiring dengan kedudukan hanya seorang manusia sebenar dapat melafazkan dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji, perkara yang merupakan rukun agama Islam.

"Sesebuah syarikat sebagai orang buatan atau ciptaan tiada kapasiti untuk bertaubat sepertimana yang dicadangkan fatwa tersebut.

"Dengan ini adalah dapatan kami bahawa sesebuah syarikat tidak boleh 'menganut' agama Islam untuk ia diklasifikasikan secara sah sebagai 'orang-orang yang menganut agama Islam'," katanya.

Terdahulu, turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Dalam pada itu, mahkamah menyatakan rayuan yang dikemukakan hanya berkenaan had-had kuasa responden untuk menggubal fatwa tersebut daripada segi pemakaiannya dalam lingkungan had yang ditetapkan.

Pada 6 Jun, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyeru semua masjid dan surau mengadakan solat hajat khas selama dua minggu berturut-turut selepas solat Jumaat seperti yang dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

SIS Forum dan pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2014 bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa SIS yang didaftarkan sebagai syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 adalah ‘company limited by guarantee’ dan tidak tertakluk kepada fatwa, selain perintah membatalkan keputusan majlis yang mengarahkan penapisan laman sesawang bercanggah dengan ajaran Islam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan itu pada 27 Ogos 2020 atas alasan mahkamah sivil tiada bidang kuasa terhadap hukum syarak. Rayuan mereka juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2023 menerusi keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim.

Diwartakan pada 31 Julai 2014, fatwa tersebut mengisytiharkan SIS Forum serta mana-mana individu dan kumpulan yang menerima ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia turut mengarahkan penerbitan berkaitan diharamkan dan dirampas, serta laman sosial yang bercanggah ditapis oleh SKMM.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.