ad
AGENDA

Nahas FRU: Pakar gesa tindakan tegas terhadap pesalah trafik, perkemas sistem

19 Jun 2025, 11:45 AM
Nahas FRU: Pakar gesa tindakan tegas terhadap pesalah trafik, perkemas sistem
Nahas FRU: Pakar gesa tindakan tegas terhadap pesalah trafik, perkemas sistem
Nahas FRU: Pakar gesa tindakan tegas terhadap pesalah trafik, perkemas sistem

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 19 JUN: Tragedi 13 Mei lalu yang mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bukan sekadar satu kemalangan, tetapi cerminan kepada kegagalan sistem keselamatan pengangkutan berat yang masih longgar dan dipandang ringan.

Laporan awal Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung insiden itu mendedahkan beberapa kelemahan serius termasuk kegagalan syarikat lori melantik penyelaras keselamatan seperti diwajibkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Siasatan turut mendapati lori terbabit membawa muatan batu kerikil, bukan arang batu seperti diluluskan, dan melebihi had beban yang ditetapkan. Keadaan itu meningkatkan risiko nahas yang dipercayai boleh dielakkan sekiranya pematuhan peraturan dipatuhi.

Penemuan awal ini turut mencetuskan semakan awam terhadap keberkesanan penguatkuasaan dalam industri pengangkutan berat terutamanmya melibatkan kenderaan komersial.

[caption id="attachment_700778" align="aligncenter" width="812"] Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak giat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di Teluk Intan pada 13 Mei 2025. Foto Facebook Auni Ameera[/caption]

Pakar keselamatan pengangkutan Chin Kar Keong berkata setiap peraturan dan denda mesti dikuatkuasakan tanpa pengecualian serta menolak sebarang bentuk kelonggaran terhadap pesalah lalu lintas.

“Setiap peraturan perlu dikuatkuasakan dengan tegas tanpa pengecualian. Kita harus hentikan budaya beri muka kepada mereka yang culas bayar saman,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut mencadangkan agar pemeriksaan kenderaan berat dilakukan secara berkala sebagai langkah pencegahan, bukan hanya selepas berlaku kemalangan.

Chin yang juga pengarah urusan Perunding Atur Trafik Sdn Bhd mencadangkan pendekatan 'Vision Zero' yang dilaksana di Sweden untuk dijadikan model keselamatan jalan raya negara ini, berteraskan prinsip semua kemalangan boleh dan harus dicegah.

Dalam kejadian 8.54 pagi itu, lori tipper yang membawa muatan batu kerikil didapati memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam ketika dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.

Sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera. Siasatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih berjalan dan kertas siasatan akan dihantar untuk tindakan pendakwaan.

[caption id="attachment_701546" align="aligncenter" width="761"] Jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya disolatkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak pada 14 Mei 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Chin turut menekankan bahawa tanggungjawab penguatkuasaan berkaitan keselamatan pekerjaan terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia dan bukan Kementerian Pengangkutan, justeru penyelarasan lebih erat antara agensi kerajaan perlu diberi perhatian segera.

Beliau juga menggesa supaya agensi kerajaan menunjukkan teladan yang baik dengan memastikan semua kenderaan rasmi menjalani pemeriksaan keselamatan secara berkala dan mematuhi piawaian ditetapkan, sama seperti pengendali sektor swasta.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Omar Mat Piah menyifatkan kegagalan majikan melantik koordinator keselamatan sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang.

“Di bawah pindaan terkini OSHA 1994, mana-mana tempat kerja dengan lebih daripada lima pekerja diwajibkan mempunyai koordinator OSH. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan denda sehingga RM50,000,” katanya.

Omar turut menekankan bahawa keselamatan di tempat kerja dan sektor pengangkutan perlu berlandaskan pelaksanaan praktikal piawaian termasuk reka bentuk, fabrikasi, pemeriksaan dan ujian mengikut kod serta peraturan berkaitan.

Beliau menambah bahawa pengendali dan pemandu juga perlu dilatih serta diiktiraf untuk memastikan mereka benar-benar cekap dan bertanggungjawab.

Kedua-dua pakar bersetuju bahawa budaya keselamatan di Malaysia harus berkembang melebihi sekadar memenuhi keperluan undang-undang semata-mata.

Mereka menyatakan bahawa kemajuan sebenar dalam aspek ini hanya akan tercapai melalui penguatkuasaan tegas, komitmen politik dan perubahan budaya dalam masyarakat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.