Oleh Muhammad Rey Hazriell
KUALA LUMPUR, 18 JUN: 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah bergabung di bawah Gerakan Kesejahteraan Umat Malaysia (GKUM) sebagai usaha menolak gagasan ‘payung besar’ yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi GKUM, Amidi Abdul Manan, menegaskan bahawa mereka menolak gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu kerana ia berpaksikan fahaman politik kebangsaan yang sempit.
Amidi, yang juga Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, menjelaskan bahawa gerakan GKUM lahir daripada hasrat bersama untuk membina negara yang harmoni dan sejahtera.
“Kami dengan ini menggerakkan hasrat kesejahteraan yang dinamakan GKUM dan menyeru sama ada pemimpin atau masyarakat agar berikhtiar mewujudkan keperibadian, politik, ekonomi, sosial, teknologi dan tadbir urus yang sejahtera,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, pada 4 Jun lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu, yang disifatkannya sebagai platform untuk menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’.
Bekas perdana menteri itu berkata, jawatankuasa tersebut diwujudkan bagi mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang menjejaskan masyarakat Melayu yang menurutnya gagal ditangani kerajaan semasa.
GKUM turut mendapat aspirasi daripada KEADILAN, Majlis Hal Ehwal Agama Umno dan Amanah.
“Kami mewakili NGO ingin menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap agama, bangsa dan negara kami.
“Kami sedar Malaysia sebagai sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian latar sama ada agama, bangsa dan budaya,” tambah Amidi lagi. .
Antara NGO yang menyertai GKUM ialah Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Haluan Malaysia (Haluan), Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), dan Pertubuhan Kumpulan Profesor G70 (G70).