ad
AGENSI

Fatwa SIS: Mais seru umat Islam doakan kemenangan institusi agama

18 Jun 2025, 2:38 PM
Fatwa SIS: Mais seru umat Islam doakan kemenangan institusi agama
Fatwa SIS: Mais seru umat Islam doakan kemenangan institusi agama

SHAH ALAM, 18 JUN: Umat Islam diseru mendoakan kemenangan pihak berkuasa agama negeri menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan esok berhubung fatwa yang mengisytiharkan Sisters In Islam (SIS) Forum sebagai pertubuhan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Salehuddin Saidin berkata keputusan itu penting demi mempertahankan kredibiliti institusi agama dan mengelak implikasi besar kepada masyarakat sekiranya tidak memihak kepada pihak berautoriti.

“Kita amat berharap agar keputusan mahkamah memihak kepada kita kerana jika tidak, selepas ini apa sahaja fatwa boleh dicabar oleh sesiapa sahaja.

“Ia sangat berbahaya kepada keharmonian dan kestabilan umat Islam di negara ini,” katanya ketika ditemui pada program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar Mais di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

[caption id="attachment_706133" align="aligncenter" width="721"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Salehuddin Saidin (tengah) menyampaikan cek cura agihan fidyah selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah Mais Wang Saku Pelajar di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Salehuddin menambah, fatwa yang dikeluarkan tidak dilakukan sewenang-wenangnya sebaliknya melalui penelitian dan perbincangan mendalam oleh pakar agama dalam Jawatankuasa Fatwa.

“Fatwa adalah keputusan yang dibuat demi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhan, namun jika ia dibenarkan untuk dicabar, masyarakat Islam akan menjadi keliru dan hilang arah terhadap isu-isu berkaitan agama,” katanya.

Pada 6 Jun, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyeru semua masjid dan surau mengadakan solat hajat khas selama dua minggu berturut-turut selepas solat Jumaat seperti yang dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

SIS Forum dan pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2014 bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa SIS yang didaftarkan sebagai syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 adalah 'company limited by guarantee' dan tidak tertakluk kepada fatwa, selain perintah membatalkan keputusan Majlis yang mengarahkan penapisan laman sesawang bercanggah dengan ajaran Islam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan itu pada 27 Ogos 2020 atas alasan mahkamah sivil tiada bidang kuasa terhadap hukum syarak. Rayuan mereka juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2023 menerusi keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim.

Diwartakan pada 31 Julai 2014, fatwa tersebut mengisytiharkan SIS Forum serta mana-mana individu dan kumpulan yang menerima ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia turut mengarahkan penerbitan berkaitan diharamkan dan dirampas, serta laman sosial yang bercanggah ditapis oleh SKMM.

 

 

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.