Selangor berbelanja jutaan ringgit setiap tahun bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) mendapat rawatan jantung.
Dinamai Skim Rawatan Jantung, inisiatif tersebut diperkenal mulai 2018 dengan menyalur dana kepada pesakit berpendapatan RM8,000 ke bawah.
Bantuan tersebut penting berikutan penyakit itu penyebab nombor satu kematian di Malaysia. Ia juga punca kematian utama selama lebih dua dekad. Pada 2021, sebanyak 18,515 kematian dilapor Jabatan Perangkaan Malaysia.
Justeru, skim berkenaan disedia saban tahun melalui sumbangan kewangan sehingga RM50,000. Mulai Januari 2024 hingga 13 Januari tahun ini, semua 81 pemohon layak menerima manfaat tersebut.
Ada tiga kategori permohonan saringan, pembedahan dan rawatan lanjut. Setakat ini, kelulusan tertinggi adalah kategori pembedahan.
“Sebanyak 73 kelulusan telah kita berikan. Ini menunjukkan keutamaan diberikan kepada rawatan kritikal seperti pembedahan jantung, yang sering melibatkan prosedur rumit dan kos tinggi.
“Angka ini mencerminkan keperluan mendesak dalam kalangan penerima untuk mendapatkan rawatan pembedahan bagi menyelamatkan nyawa atau meningkatkan kualiti hidup,” kata EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin kepada Media Selangor baru-baru ini.
Kos pembiayaan bagi kategori saringan pula boleh mencecah sehingga RM5,000 manakala maksimum pembiayaan untuk rawatan susulan pula sehingga RM10,000.
[caption id="attachment_706117" align="aligncenter" width="730"] Maya Sari Dewi, 48, bersama anaknya Mohd Danish, 8, penerima manfaat Skim Rawatan Jantung Selangor. Foto MEDIA SELANGOR[/caption]
Terbaharu, skim itu membantu menyelamatkan nyawa kanak-kanak lelaki dari Rawang. Berusia lapan tahun, Mohd Danish hanya ada tiga injap jantung sedangkan insan normal memiliki empat injap.
Mohd Danish terpaksa menjalani tiga pembedahan sejak kecil, dua daripadanya ditanggung Kerajaan Selangor membabitkan kos RM70,000.
Sebelum menjalani pembedahan, beliau mengalami masalah sukar bernafas tetapi selepas menjalani prosedur kesihatan, Mohd Danish kian aktif dan masalah pernafasan juga makin berkurangan.
“Keadaan dia semakin baik, terima kasih menanggung kos bedah anak kami. Jika tidak dibedah, kurang 100 meter jalan pun dia sudah penat,” kata ibunya Maya Sari Dewi berusia 48 tahun.
Chong Yoon Chin, 53, pula menanggung derita sekian lama angkara menunggu giliran panjang. Permohonannya melalui skim negeri membantu beliau menerima rawatan lebih cepat.
[caption id="attachment_706116" align="aligncenter" width="782"] Penerima manfaat Skim Rawatan Jantung Selangor, Chong Yoon Chin , 59 ketika ditemui Media Selangor di Pusat Khidmat Dun Rawang pada 23 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Saya menderita di bahagian saluran injap di bahagian kiri menyebabkan rasa tidak selesa dan kurang berselera untuk menjamah makanan. Kini saya sihat semula selepas menjalani pembedahan di Hospital UiTM Sungai Buloh,” katanya.
Pusat rawatan pesakit yang dibiayai Kerajaan Selangor antaranya Institut Jantung Negara yang diiktiraf sebagai hospital pakar (kardiologi) ke-30 terbaik di Asia Pasifik pada 2023.
Lokasi lain, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur, diiktiraf terbaik pada tangga ke-88. Selain itu, UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh.