ad
AGENDA

Tiga rakyat Malaysia ditahan di Singapura, elak cukai rokok, GST

17 Jun 2025, 11:05 PM
Tiga rakyat Malaysia ditahan di Singapura, elak cukai rokok, GST

SINGAPURA, 17 JUN: Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan kerana disyaki mengelak untuk membayar cukai rokok dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah S$812,384 (S$1=RM3.30) dalam satu operasi penguatkuasaan di Gul Drive.

Dalam satu kenyataan, Kastam Singapura memaklumkan bahawa dalam operasi pada 10 Jun itu, pegawainya mengesan ketiga-tiga suspek berusia 24, 30 dan 40 tahun sedang memindahkan kotak berwarna coklat antara dua kenderaan berdaftar Malaysia yang diletakkan di tepi jalan.

“Pegawai kemudiannya melakukan pemeriksaan dan menemukan 7,400 karton rokok tidak bercukai dalam sebuah treler dan 100 karton lagi dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Ketiga-tiga lelaki itu ditahan di tempat kejadian. Kedua-dua kenderaan serta rokok tidak bercukai berkenaan turut disita,” menurut agensi itu hari ini sambil menambah bahawa kedua-dua kenderaan berkenaan memasuki Singapura secara berasingan.

Kastam Singapura berkata suspek berusia 30 tahun dipercayai memandu kepala lori dari Malaysia dengan rokok tidak bercukai disembunyikan dalam kotak produk kopi.

Suspek berusia 24 tahun pula dipercayai membantu memindahkan rokok itu ke dalam MPV manakala lelaki berusia 40 tahun dipercayai ditugaskan untuk menghantar rokok berkenaan kepada pelanggan di Singapura.

Ketiga-tiga suspek dipercayai direkrut oleh individu tidak dikenali di Malaysia. Prosiding mahkamah sedang berlangsung.

Membeli, menjual, membawa, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan barangan tidak bercukai adalah kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST.

Pesalah boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielakkan dan/atau penjara sehingga enam tahun.

Kenderaan yang digunakan dalam kesalahan seperti ini juga boleh dilucuthak.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.