SHAH ALAM, 17 JUN: Pendekatan kerajaan dalam percukaian progresif menafikan tanggapan bahawa orang kaya tidak dikenakan cukai secara adil.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican menegaskan kerajaan mengekalkan pendirian konsisten terhadap percukaian progresif, walaupun berdepan kritikan daripada kalangan orang kaya.
"Sebenarnya, perdana menteri ini, yang juga menteri kewangan kita...saya fikir beliau sangat konsisten dalam menjadi progresif. Sehinggakan anda kadang-kadang mendapat kenyataan sinis daripada orang kaya yang mengadu bahawa mereka merasakan mereka dikenakan cukai tidak sepatutnya di bawah pentadbiran ini," kata beliau lapor Malaysiakini.
Menjawab kritikan mengenai ekuiti cukai, Johan merujuk kepada langkah yang menyasarkan golongan berpendapatan tinggi di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara beberapa contoh yang mempengaruhi kumpulan berpendapatan tinggi seperti perubahan kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) meliputi pendidikan swasta dan barangan mewah, kenaikan cukai pendapatan dan penyasaran subsidi progresif.
"Dalam Belanjawan 2025, salah satu daripada langkah itu ialah cukai dividen, di mana secara berkesan kami mengatakan bahawa anda akan dikenakan cukai dividen jika anda mempunyai pendapatan dividen melebihi RM100,000.
"Jadi hanya tahap tertentu yang akan mendapat pendapatan dividen melebihi RM100,000. Sesiapa yang di bawah itu tidak akan dikenakan cukai tambahan.
"Dalam Belanjawan 2024, kerajaan juga menaikkan kadar cukai pendapatan untuk pendapatan yang benar-benar tinggi. Saya rasa melebihi RM1 juta ditingkatkan kadar cukai marginal kepada 30 peratus," katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 tahun lalu, Anwar mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan cukai dividen yang menyasarkan pendapatan yang diperoleh melalui dividen oleh pemegang saham individu.
Cukai yang ditetapkan pada kadar dua peratus itu akan dilaksanakan tahun ini dan langkah itu bagi memastikan negara tidak lagi bergantung kepada cukai yang dikenakan ke atas individu makan gaji sahaja tetapi diperluas kepada majikan dan individu yang memegang saham bernilai jutaan ringgit.