ad
PBT

MBPJ anjur konvensyen strata siri pertama, tingkat kecekapan badan pengurusan

17 Jun 2025, 7:23 PM
MBPJ anjur konvensyen strata siri pertama, tingkat kecekapan badan pengurusan
MBPJ anjur konvensyen strata siri pertama, tingkat kecekapan badan pengurusan
MBPJ anjur konvensyen strata siri pertama, tingkat kecekapan badan pengurusan

Oleh Dewi Abdul Rahman

PETALING JAYA, 17 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan konvensyen strata bagi meningkatkan tahap kecekapan badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC).

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata konvensyen julung kali itu menjadi platform bagi meningkatkan kefahaman mengenai tanggungjawab pengurusan pembangunan berstrata di bawah pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Konvensyen Strata Petaling Jaya edisi pertama ini amat penting kerana sebanyak 60 peratus kawasan dalam pentadbiran MBPJ yang meliputi keluasan 97 kilometer persegi merupakan pembangunan berstrata.

"Sehingga April lalu, terdapat 1,307 skim pembangunan strata melibatkan 194,037 petak, menjadikan jumlah ini kedua tertinggi di Selangor selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ),” katanya ketika merasmikan Konvensyen Strata Petaling Jaya di sini, semalam.

[caption id="attachment_706039" align="aligncenter" width="700"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri (kanan, tiga) Samingon menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori kediaman kos sederhana sempena Konvensyen Strata Petaling Jaya pada 16 Jun 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya[/caption]

Beliau berkata, konvensyen tersebut menarik penyertaan lebih 200 peserta dan turut mengetengahkan isu perundangan serta kaedah pengurusan terbaik skim strata.

“Di Petaling Jaya, kita ada bahagian pesuruhjaya bangunan (COB) yang menyelaras aspek pengetahuan dan pelaksanaan pentadbiran strata.

"Memandangkan pelantikan JMB dan MC berlaku dua tahun sekali, tempoh khidmat mereka agak terhad. Oleh itu, pendedahan ilmu seperti ini penting agar JMB dan MC dapat mentadbir kawasan masing-masing secara efisien dan mengikut peraturan,” ujarnya.

Dalam program sama, MBPJ turut menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Strata 2025 (SEA 2025) sebagai pengiktirafan kepada badan pengurusan yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan dan penyelenggaraan pembangunan strata.

"Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu kategori kediaman kos rendah, kediaman kos sederhana, kediaman kos tinggi dan kategori komersial,” tambah beliau.

Penyertaan SEA 2025 disertai 20 skim berstrata dan dinilai oleh panel luar seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), MBSJ dan jabatan dalaman MBPJ.

Pemenang menerima wang tunai, trofi dan sijil penyertaan.

[caption id="attachment_706040" align="aligncenter" width="700"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri (kanan, tiga) Samingon menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori kediaman kos tinggi sempena Konvensyen Strata Petaling Jaya pada 16 Jun 2025. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.