Oleh Chua Chee Hwai
SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) diharap memberi tempoh kelonggaran selama tiga bulan sebelum menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengambilan pekerja asing di gerai dan kios.
Presiden Persatuan Penjaja-Penjaja Klang dan Pantai Khoo Chee Pock berkata pihak berkuasa tempatan itu juga dicadang membenarkan pengambilan pekerja asing yang mempunyai permit kerja sah atau penduduk tetap, bagi memastikan kelangsungan sumber rezeki penjaja.
"Ramai penjaja, terutamanya warga emas, masih dalam fasa penyesuaian dan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.
"Mereka terpaksa mengendalikan gerai secara bersendirian walaupun kudrat terhad. Ada yang hanya mampu berniaga dua hingga tiga hari seminggu,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_706002" align="alignleft" width="392"] Presiden Persatuan Penjaja-Penjaja Klang dan Pantai Khoo Chee Pock[/caption]
Beliau menjelaskan bahawa cabaran sebagai penjaja besar dan berpendapatan rendah, menyebabkan golongan muda tidak berminat, lalu peniaga tiada pilihan selain menggaji pekerja asing.
“Ada penjaja warga emas yang sudah menyatakan hasrat untuk bersara awal, dan ini bukan kes terpencil tetapi masalah menyeluruh dalam industri ini," katanya.
MBDKL menguatkuasakan larangan pengambilan pekerja asing sebagai pembantu di semua gerai dan kios mulai 1 Jun lalu.
Penguatkuasaan itu melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar awam milik MBDK bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana diberi keutamaan kepada warga tempatan.
Datuk Bandar Dato’ Abd Hamid Hussain berkata hanya pekerja warganegara Malaysia sahaja dibenarkan bekerja sebagai pembantu gerai dan diwajibkan berdaftar dengan pihak majlis.
[caption id="attachment_706003" align="alignright" width="259"] Ahli Majlis MBDK merangkap Ketua Whip DAP Klang Ang Kian Wah[/caption]
Ahli Majlis MBDK merangkap Ketua Whip DAP Klang Ang Kian Wah, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima banyak maklum balas daripada penjaja yang sukar mendapatkan pekerja tempatan dalam masa singkat.
“Buat masa ini, kami sedang meneliti cadangan untuk melanjutkan tempoh kelonggaran selama sebulan bagi membantu penjaja menyesuaikan diri. Namun, keputusan rasmi akan dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa minggu ini.”
Beliau menegaskan bahawa larangan menggaji pekerja asing telah dimaklumkan lebih awal, dan para peniaga dan penjaja telah bersetuju dengan syarat ini semasa menandatangani perjanjian sewa dengan MBDK.
“MBDK kini hanya melaksanakan penguatkuasaan yang telah diumumkan, jadi tidak timbul isu tidak berperikemanusiaan," katanya.
Pada 30 April, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata larangan mengambil pekerja asing di pasar dan gerai bawah seliaan MBDK masih di peringkat percubaan.
Beliau berkata dasar itu tidak terpakai kepada restoran dan premis makanan persendirian.