SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyantuni penduduk perkampungan Orang Asli Bukit Bandaraya di sini, menerusi program Turun Padang pada Sabtu lalu.
Mais memaklumkan, program bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim itu menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk pendaftaran pengislaman serta pembaharuan kad pengenalan diri.
“Seramai 300 penduduk menyertai program ini dan antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung iaitu mengemaskini kad perakuan memeluk agama Islam serta mengemaskini kad pengenalan Orang Asli.
“Mais turut menganjurkan beberapa acara sukaneka untuk kanak-kanak, kuiz pengetahuan ilmu fardhu ain, dan kuiz pengetahuan am,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Majlis perasmian dan acara penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Pengarah Pembangunan Sosial Mais, Dr Norraini Nordin.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dan Pesuruhjaya Sumpah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Selain itu, program tersebut turut disertai anggota Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
PMOA yang ditubuhkan pada 1993 merupakan individu yang dilantik untuk membantu dalam dakwah dan pembangunan masyarakat Orang Asli, yang ditempatkan di 652 perkampungan Orang Asli di seluruh negara.
[caption id="attachment_705970" align="aligncenter" width="700"] Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menganjurkan program turun padang yang diadakan di perkampungan Orang Asli Bukit Bandaraya pada 14 Jun 2025. Foto Facebook Mais[/caption]
[caption id="attachment_705971" align="aligncenter" width="700"] Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuka pendaftaran bantuan mualaf sempena program turun padang yang diadakan di perkampungan Orang Asli Bukit Bandaraya pada 14 Jun 2025. Foto Facebook Mais[/caption]