ad
BERITA UTAMA

SST atau GST: Mana lebih adil untuk rakyat?

17 Jun 2025, 9:48 AM
SST atau GST: Mana lebih adil untuk rakyat?
SST atau GST: Mana lebih adil untuk rakyat?
SST atau GST: Mana lebih adil untuk rakyat?
SST atau GST: Mana lebih adil untuk rakyat?

Oleh Danial Dzulkifly

SHAH ALAM, 17 JUN: Defisit fiskal Malaysia mengecil kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2025, berbanding 5.7 peratus tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu dikaitkan dengan kutipan hasil lebih baik susulan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta langkah rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd berkata ia berlaku selepas skop SST diperluas dan kenaikan kadar cukai daripada enam kepada lapan peratus pada Mac 2024, yang menyumbang kepada peningkatan hasil cukai sebanyak 30.3 peratus.

Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut menyatakan rasionalisasi subsidi diesel bermula Jun mengurangkan perbelanjaan bantuan sosial sebanyak 19.4 peratus, sekali gus mengukuhkan fiskal negara.

[caption id="attachment_624815" align="aligncenter" width="749"] Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid diwawancara Media Selangor di Pejabat Media Selangor, Seksyen 14, Shah Alam pada 10 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Langkah tersebut, katanya, merupakan "tindakan imbangan secara berperingkat tetapi berkesan" untuk mengurus kewangan awam dan pertumbuhan ekonomi negara.

Namun begitu, liputan SST mencetuskan semula perdebatan sama ada kerajaan wajar memperkenal semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Ramai berpandangan SST lebih telus berbanding GST.

Ahli ekonomi Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata SST masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan, memandangkan rakyat Malaysia masih trauma dengan pelaksanaan GST sebelum ini.

“SST boleh diubah suai untuk menghapuskan kesan berlapis (cascading effect)… ia akan berfungsi lebih baik daripada GST, terutamanya dalam mengurangkan beban cukai yang dirasai pengguna dari sudut psikologi dan persepsi,” katanya.

Beliau turut menyatakan SST lebih fleksibel kerana ia menyasarkan kumpulan berpendapatan tinggi.

Ahli ekonomi Prof Geoffrey Williams pula menyatakan SST kurang memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) kerana cukai dikenakan pada barangan mewah.

“Oleh kerana produk dan perkhidmatan yang baru dikenakan SST adalah barang mewah dan bukan keperluan, golongan B40 dan M40 tidak terlalu terjejas. Selain itu, pengecualian yang memberi manfaat kepada kumpulan B40 masih dikekalkan secara seimbang.

“Tiada risiko golongan M40 akan menjadi B40, dan pengguna masih boleh beralih kepada pilihan tempatan atau lebih murah untuk mengurangkan kesan kos sara hidup,” katanya.

Bagaimanapun, Barjoyai menyatakan tingkah laku perniagaan boleh menjejaskan kesan dasar tersebut, kemungkinan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menaikkan harga untuk menampung kos operasi.

[caption id="attachment_680261" align="aligncenter" width="813"] Minyak masak antara barangan yang dijual murah di Pasar Raya Ehsan Mart Dataran Selayang, Batu Caves, Gombak pada 6 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MDIA SELANGOR[/caption]

“Melihat corak ekonomi Malaysia, memang dijangka peniaga akan menaikkan harga sebagai langkah awal, menjangkakan kenaikan harga daripada pembekal dan peningkatan kos keseluruhan perniagaan.

“Akhirnya, kita boleh jangka harga barang naik — terutamanya makanan siap dan harga makanan di restoran,” jelas beliau.

Hanya cukai golongan kaya?

Dalam keresahan orang ramai terhadap peningkatan kos sara hidup, pelaksanaan SST yang baharu kelak kembali mencetuskan persoalan: adakah golongan kaya menyumbang cukai yang cukup?

Kerajaan menjangkakan kutipan tambahan sebanyak RM5 bilion hasil daripada struktur SST baharu.

Bekas wakil rakyat Klang Charles Santiago mencadangkan kerajaan mengenakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas 50 individu terkaya di Malaysia.

Menurutnya, langkah tersebut mampu menjana RM8.3 bilion — lebih 60 peratus lebih tinggi daripada hasil SST tambahan.

Barjoyai turut mengemukakan cadangan lain untuk mengenakan cukai ke atas golongan kaya, seperti mcukai ke atas pendapatan dividen, pindah milik hartanah, serta keuntungan jual beli saham.

Namun begitu, idea cukai kekayaan itu masih dianggap sensitif dari segi politik.

[caption id="attachment_690203" align="aligncenter" width="814"] Peniaga murtabak sibuk menyiapkan murtabak untuk dijual di bazar Ramadhan Ijok, Kuala Selangor pada 2 Mac 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh ketika menyertai forum BBC World Questions pada 10 Jun lalu, mengakui kerajaan berisiko menjadi “tidak popular” jika mula mengenakan cukai kepada golongan kaya.

Sebagai contoh, katanya, cukai dividen sebanyak dua peratus terhadap pendapatan dividen melebihi RM100,000 setahun yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 turut menerima kritikan.

Prof Williams bersetuju cukai kekayaan “boleh dilaksanakan secara prinsip”, tetapi ia mudah dielakkan melalui pemindahan kekayaan ke luar negara dan helah perakaunan.

“Cukai kekayaan dua peratus secara prinsip memang boleh dilakukan, tetapi golongan kaya mempunyai akses kepada strategi kewangan yang membolehkan mereka elak membayar — seperti memindahkan aset ke negara bebas cukai.

“Sebahagian kecil mungkin akan bayar, tapi tidak sebanyak yang dijangka. Cukai ke atas golongan kaya tidak akan hasilkan pendapatan besar. Cara terbaik untuk jana pendapatan tinggi adalah melalui cukai kecil ke atas pelbagai jenis transaksi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbang cukai pembayaran elektronik (EPT) — iaitu cukai kecil ke atas transaksi digital — sebagai sumber hasil baharu.

“Cukai EPT sebanyak satu peratus sahaja boleh menjana RM28.8 bilion — ini cukup besar dan boleh mengurangkan keperluan menaikkan SST di masa hadapan,” tambahnya.

Williams turut memberi amaran agar kerajaan tidak menghidupkan semula GST kerana ia memberikan beban besar kepada golongan berpendapatan rendah.

“Ada bekas pemimpin yang gesa asas percukaian diperluas semula, termasuk memperkenal semula GST. Tapi bila asas percukaian diperluas, golongan B40 juga akan dikenakan cukai lebih tinggi.

“Salah satu sebab syarikat suka GST ialah mereka boleh tuntut semula — jadi secara praktikal mereka tak bayar, yang tanggung sebenarnya adalah pengguna. Sebab itu GST dilihat sebagai cukai regresif,” katanya mengakhiri perbincangan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.