ad
AGENDA

Dua puluh satu negara Islam, Arab kecam serangan Israel ke atas Iran

17 Jun 2025, 8:23 AM
Dua puluh satu negara Islam, Arab kecam serangan Israel ke atas Iran

AMMAN/ISTANBUL, 17 JUN: Sebanyak 21 negara Arab dan Islam mengeluarkan kenyataan bersama mengecam serangan udara Israel ke atas Iran, serta menyeru agar ketegangan serantau ditangani, pelucutan senjata nuklear dilaksanakan tanpa pilih kasih dan undang-undang antarabangsa dihormati, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut agensi berita rasmi Mesir, MENA, kenyataan bersama itu dibuat hasil inisiatif Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty yang mengadakan rundingan bersama rakan sejawatnya dari rantau berkenaan.

Negara yang terlibat dalam inisiatif itu ialah Turkiye, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Bahrain, Brunei, Chad, Gambia, Algeria, Comoros, Djibouti, Arab Saudi, Sudan, Somalia, Iraq, Oman, Qatar, Kuwait, Libya, Mesir dan Mauritania.

Para menteri luar mengecam tindakan Israel menyerang wilayah Iran sebagai satu pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka menegaskan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah serta prinsip kejiranan yang baik, di samping menggesa agar semua pertikaian diselesaikan secara aman.

Para menteri turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap konflik yang semakin memuncak, sambil memberi amaran tentang implikasi besar terhadap keselamatan dan kestabilan rantau itu.

Mereka menggesa agar Israel segera menghentikan segala bentuk serangan terhadap Iran dan menyeru usaha menyeluruh untuk meredakan ketegangan demi mencapai gencatan senjata.

Ketegangan meningkat sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear.

-BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.